Cadangan 'One Stop Center' buat atlet akan dibentang di Kabinet

Asyraf Roslan
Februari 24, 2019 07:39 MYT
Pusat sehenti ini boleh dimanfaatkan masyarakat untuk membuat laporan sekiranya mempunyai maklumat mengenai bekas atlet dan atlet yang berdepan masalah - Gambar BERNAMA
Cadangan bagi mewujudkan pusat sehenti (One Stop Center) bagi membantu atlet dan bekas atlet negara akan dibentang di Kabinet dalam tempoh terdekat.
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kewujudan pusat itu diharapkan akan memudahkan bantuan disalurkan kepada mereka yang memerlukan selain pengumpulan maklumat dengan lebih berkesan.
Pada masa sama pusat sehenti ini boleh dimanfaatkan masyarakat untuk membuat laporan sekiranya mempunyai maklumat mengenai atlet dan bekas atlet yang berdepan masalah.
“Perancangan untuk menubuhkan pusat sehenti akan disiapkan dalam tempoh terdekat. Ia akan memudahkan kementerian untuk mendapat maklumat mengenai mereka bakal atlet, yang sedang berkhidmat dan yang sudah bersara serta memberi bantuan kepada mereka,” katanya selepas merasmikan Pertandingan Boling Mesra Media Wanita Pertama 2019 di Bukit Jalil di sini pada Ahad.
Tambah beliau, Kementerian Belia dan Sukan juga akan membentangkan cadangan Skim Perlindungan Khas buat semua para atlet supaya mereka boleh mendapatkan perkhidmatan yang terbaik di hospital.
Sejak kebelakangan ini, timbul beberapa isu membabitkan kebajikan beberapa bekas atlet selepas mereka meninggalkan sukan yang diceburi.
Antaranya pemenang pingat emas berbasikal lebuh raya kategori C1,C2,C3 ( pelbagai kecacatan anggota) sukan Para ASEAN ke-9, Mohamad Syazwan Roshdi yang ditemui menumpang di surau Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru.
#Bantuan Atlet #Bukit Jalil #cadangan #Menteri Belia dan Sukan #One Stop Center #Skim Bantuan Khas #Syed Saddiq Syed Abdul Rahman