Cadangan naik harga siling beras putih tempatan dimuktamad sebelum Oktober - Mohamad Sabu

Bernama
Jun 10, 2024 14:10 MYT
Mohamad berkata cadangan berkenaan masih dalam perbincangan melibatkan KPKM dengan beberapa kementerian berkaitan dan sedang menuju kepada penyelesaian akhir. - Gambar fail
SERDANG: Cadangan kenaikan harga siling beras putih tempatan (BPT) dijangka dimuktamad sebelum Oktober tahun ini, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Ringkasan AI
  • Cadangan kenaikan harga siling beras putih tempatan sedang dibincangkan dan dijangka akan selesai sebelum Oktober ini. Perbincangan melibatkan beberapa kementerian termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Ekonomi, dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
  • Pada November tahun lepas, Badan Kawal Selia Padi dan Beras mencadangkan harga siling beras putih tempatan naik kepada RM3.20 sekilogram berbanding RM2.60 sekilogram pada masa kini.
  • Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan juga mengesahkan bahawa Jabatan Perkhidmatan Veterinar memantau kemasukan bekalan makanan untuk memastikan keselamatan, khususnya berikutan kes jangkitan selesema burung yang berlaku di luar negara.

Beliau berkata cadangan berkenaan masih dalam perbincangan melibatkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan beberapa kementerian berkaitan dan sedang menuju kepada penyelesaian akhir.
"Sebelum Oktober. Tidak lama dah. (Cadangan) masih di peringkat perbincangan dan sebarang perubahan harga (BPT) dan sebagainya itu perbincangannya melibatkan empat hingga lima kementerian.
"Bukan hanya KPKM tetapi Kementerian Ekonomi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan beberapa kementerian lain," katanya ketika diminta mengulas mengenai bila cadangan itu akan dimuktamadkan pada sidang media di sini hari ini.
Pada November tahun lepas, Badan Kawal Selia Padi dan Beras mendapati harga siling BPT wajar dinaikkan kepada RM3.20 sekilogram berbanding RM2.60 sekilogram ketika ini.
Terdahulu, beliau melancarkan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 bertemakan 'Menuai Harapan Membina Masa Hadapan' yang akan diadakan pada 11 hingga 22 Sept di Taman Expo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini.
Mengenai kes jangkitan selesema burung di luar negara akibat terdedah kepada lembu yang dijangkiti, beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) memantau rapi kemasukan bekalan makanan ke negara ini .
"Mana-mana tempat dijangkiti penyakit flu atau apa-apa virus, pihak DVS akan membuat tindakan cepat menasihatkan kepada kementerian untuk tidak boleh diimport ternakan dan sebagainya ," katanya.
Media melaporkan seorang pekerja tenusu Amerika Syarikat (AS) disahkan mangsa ketiga positif selesema burung selepas terdedah kepada lembu yang dijangkiti dan yang pertama mengalami masalah pernafasan.
-- BERNAMA
#beras putih tempatan #BPT #naik harga #Kerajaan Madani
;