Cadangan loji jana kuasa di Labuan masih di peringkat awal - Petronas

Bernama
Februari 5, 2024 18:30 MYT
Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berkata cadangan pembinaan loji jana kuasa baharu di Labuan masih di peringkat awal.
KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berkata cadangan pembinaan loji jana kuasa baharu di Labuan masih di peringkat awal.
"Oleh itu, kami tidak dapat mendedahkan sebarang maklumat mengenainya pada masa ini," kata syarikat minyak dan gas nasional itu dalam jawapan kepada Bernama mengenai perkembangan loji jana kuasa baharu tersebut.
Loji jana kuasa Petronas itu dicadangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Disember tahun lepas sebagai penyelesaian jangka panjang kepada gangguan bekalan elektrik di Labuan dan apabila siap kelak ia akan membantu meningkatkan kapasiti operasi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), yang kini merupakan pengendali bekalan elektrik di Labuan.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata cadangan loji jana kuasa itu yang akan diterajui Petronas, merupakan usaha sama dengan Suruhanjaya Tenaga Sabah dan SESB dan dijangka siap pada 2027.
-- BERNAMA
#Petronas #loji jana kuasa baharu #Labuan #Anwar Ibrahim #Sabah Electricity #bekalan elektrik di Labuan
;