Cadangan kenaikan harga siling BPT masih dibincangkan - Mohamad Sabu

Bernama
Jun 7, 2024 16:39 MYT
Mohamad Sabu ketika berucap pada Majlis Pelancaran Blueprint Keterjaminan Makanan UPM di Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini. - Foto Bernama
SERDANG: Perbincangan berhubung cadangan harga siling beras putih tempatan (BPT) dinaikkan sedang berjalan sebelum keputusan dapat dibuat dalam beberapa bulan lagi, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
"Perbincangan antara semua pihak sedang berjalan dan tunggu beberapa bulan (akan) membuat keputusan," katanya secara ringkas kepada media selepas Majlis Pelancaran 'Blueprint' Keterjaminan Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Naib Canselor UPM Datuk Profesor Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan cadangan isu harga siling BPT dinaikkan bagi menjaga masa depan semua pihak dalam rantaian pengeluaran bahan makanan itu terutama pesawah.
Pada November tahun lepas, Badan Kawal Selia Padi dan Beras mendapati harga siling BPT wajar dinaikkan kepada RM3.20 sekilogram berbanding RM2.60 sekilogram ketika ini.
Kenaikan harga siling BPT penting bagi mengelakkan berlakunya longgokan padi tempatan berikutan pengilang tidak lagi berminat meneruskan pembelian beras kerana harga yang rendah.
Berhubung rungutan bekalan beras tempatan tidak mencukupi, Mohamad berkata tindakan segera telah diambil untuk memenuhi permintaan.
Beliau berkata bekalan beras tempatan masih stabil namun selagi negara mengimport lebih kurang 38 peratus makanan ruji itu, maka akan berlaku peningkatan harga.
Selain itu, Mohamad berkata kemarau yang berpanjangan di Kelantan juga dikhuatiri akan menjejaskan hasil tahun ini dan seterusnya.
Beliau berkata perkara itu sedang dibincangkan secara serius dengan semua pihak terlibat untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut berhubung isu itu.
Mengenai 'Blueprint' Keterjaminan Makanan UPM, Mohamad berkata universiti itu secara khusus menggariskan serta melaksanakan pelbagai inisiatif melibatkan teknologi, benih dan kaedah penanaman baharu menerusi pelan tindakan itu.
Beliau berkata pelan tindakan itu juga akan melibatkan penambahbaikan gerak kerja pemodenan sektor pertanian berkonsep pintar sebagai elemen utama di bawah Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dari segi penyelidikan, pembangunan, pengkomersilan dan keusahawanan.
"Penglibatan UPM boleh membantu dalam memfokuskan pendekatan berasaskan teknologi moden dan pembangunan mampan, selari dengan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) untuk memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) 2030," katanya.
-- BERNAMA
#harga siling #beras putih tempatan #Mohamad Sabu #Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
;