Cadangan kaji semula visa pelancong Asia Barat ditolak
Hafiz Marzukhi
Julai 13, 2016 19:49 MYT
Julai 13, 2016 19:49 MYT
Kabinet memutuskan untuk tidak mengkaji semula pemberian visa kepada individu dari Asia Barat yang ingin ke Malaysia.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, cadangan tersebut ditolak atas beberapa faktor.
"Ini adalah soal penguatkuasaan. Jika prosedur keselamatan kita baik, saya pasti mereka yang terlibat dengan kumpulan militan akan dihalang daripada memasuki Malaysia," katanya pada satu sidang media di Malaysia Tourism Centre (MaTiC) di Kuala Lumpur, pada Rabu.
Tambahnya, ancaman militan Daish boleh datang dari pelbagai negara.
"Jadi, jika kita ingin mengkaji semula pemberian visa, kita bukan sahaja patut mengkaji semula pemberian visa kepada Asia Barat tetapi semua negara," jelas Nazri.
Selain itu, beliau turut menjelaskan isu pemberian visa perlu dibuat secara bersama dan bukannya secara bersendirian.
"Hal-hal imigresen ini adalah hal bilateral. Oleh itu, Malaysia tidak boleh membuat keputusan secara unilateral," jelas Nazri.
Katanya lagi, Malaysia juga tidak ingin memberi isyarat yang salah kepada Asia Barat dengan mengkaji semula pemberian visa.
"Negara-negara ini adalah sahabat kita. Jadi, kita tidak mahu memberi mesej yang salah dengan mengkaji semula pemberian visa," katanya