Cadangan kadar elaun 'on call' petugas kesihatan akan dibawa kepada PM

Sinar Harian
Ogos 24, 2024 18:30 MYT
Dzulkefly berucap pada Majlis Penyerahan Projek Fasiliti Kesihatan Hospital Dungun, Klinik Kesihatan Paya Datu dan Klinik Kesihatan Kota Putera di Hospital Dungun hari ini. - Foto Bernama
DUNGUN: Cadangan daripada Kumpulan Hartal Doktor Kontrak (HDK) berhubung kadar elaun tugas atas panggilan atau 'on call' petugas perubatan akan diteliti dan dibawa kepada perdana menteri untuk dipertimbangkan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyokong saranan HDK mengenai keperluan untuk meningkatkan kadar elaun tersebut.
"Kita berterima kasih kepada Perdana Menteri yang telah mengumumkan kenaikan gaji kepada semua kakitangan awam dan kita akan bawa tuntutan ini juga kepada perdana menteri yang juga menteri kewangan.
"Saya sangat menyokong dan pastinya saya akan mengemukakan syor ini kepada perdana menteri supaya elaun ini dipertimbangkan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis penyerahan tiga fasiliti kesihatan Terengganu di Hospital Dungun dekat sini pada Sabtu.
Sebelum ini, HDK mengesa kerajaan menyemak semula kadar elaun tugas atas panggilan yang tidak disemak lebih sedekad lalu bagi mengekalkan kemampanan sistem penjagaan kesihatan negara.
Menurutnya, meskipun ada penyelarasan gaji untuk kakitangan awam yang diumumkan Sabtu lalu, terdapat keperluan mendesak menyemak semula elaun atas panggilan untuk doktor.
Jelasnya, ia masih tidak mencukupi memandangkan peningkatan tanggungjawab dan tekanan inflasi yang dihadapi oleh profesional perubatan. -- Sinar Harian
#Kumpulan Hartal Doktor Kontrak #elaun on call #Dzulkefly Ahmad #Kementerian Kesihatan Malaysia #Perdana Menteri