Cadangan jadikan merotan kesalahan jenayah tidak relevan dengan budaya Malaysia

Bernama
Januari 27, 2015 12:55 MYT
Mat Nanyan meminta semua pihak tidak terlalu taksub dengan undang-undang negara Barat yang memenjarakan ibu bapa yang merotan anak-anak mereka walaupun untuk tujuan mendidik. - Gambar Fail
Cadangan menjadikan kesalahan merotan anak sebagai satu kesalahan jenayah dalam akta baharu bagi menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 tidak relevan dengan budaya dan agama masyarakat di Malaysia.
Sehubungan dengan itu, Presiden Pertubuhan Setiakawan Ummah Malaysia (Setiakawan) Datuk Mat Nanyan Saad meminta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menarik balik cadangan itu.
"Saya terkejut dengan kenyataan beliau (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim), kerana di dalam Islam sendiri ada menyatakan bahawa ibu bapa boleh merotan anak-anak bagi tujuan mendidik seperti yang disebut di dalam hadis Nabi Muhammad SAW."
"Contohnya, ibu bapa diharuskan merotan anak-anak yang tidak mahu menunaikan sembahyang apabila sudah cukup umur," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Mat Nanyan meminta semua pihak tidak terlalu taksub dengan undang-undang negara Barat yang memenjarakan ibu bapa yang merotan anak-anak mereka walaupun untuk tujuan mendidik.
Beliau meminta pemimpin, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat Islam menolak cadangan yang dibuat itu kerana jika cadangan itu diterima pakai ia bakal menjadikan anak-anak "besar kepala."
"Cadangan yang dilontarkan itu perlu dikaji secara terperinci kerana ia melibatkan banyak aspek. Jikalau ada kelemahan sebelum ini, kita kena perbaikinya," kata beliau.
Sementara itu seorang bapa kepada dua anak, Mohd Fikri Abu Hassan, 33, berkata, penggunaan rotan adalah untuk mendidik anak-anak supaya lebih berdisiplin dan bukan sesekali bermaksud untuk mendera.
"Jikalau hendak merotan ikut cara yang dituntut oleh agama, yang mana jangan merotan di bahagian muka dan beberapa bahagian tertentu dan niat merotan adalah untuk mendidik dan bukannya untuk menghukum dan melepaskan geram," katanya.
Bagi pekerja swasta, Nordiana Shafiee, 30, pula mempersoalkan nasib dan masa depan yang bakal diterima oleh anak-anak sekiranya ibu bapa mereka dipenjarakan kerana merotan.
"Sekiranya ibu bapa dipenjarakan, apa yang akan jadi pada anak-anak mereka. Adakah pihak Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) atau pihak kementerian akan ambil alih tugas menjaga anak-anak itu ?" katanya.
#agama #Akta Kanak-kanak 2001 #budaya #Masyarakat #mat nanyan saad #Rohani Abdul Karim
;