Cadangan iktiraf masyarakat Jawa, Bugis perlu dilihat pelbagai aspek
Bernama
Februari 3, 2019 06:26 MYT
Februari 3, 2019 06:26 MYT
Kerajaan Sabah akan melihat dalam pelbagai aspek termasuk dari segi undang-undang mengenai cadangan untuk masyarakat Jawa dan Bugis diiktiraf sebagai anak negeri.
Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata perkara itu perlu diteliti agar tidak menjadi pertikaian tanpa mengetepikan suku kaum yang terdapat di Sabah.
'Di samping itu, kita juga akan melihat kedudukan kampung-kampung yang ada, seperti masyarakat Tionghoa yang mempunyai kapitan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program tinjauan mesra di Segama sempena sambutan Tahun Baharu Cina, di sini malam tadi.
Mohd Shafie berkata kesesuaian itu perlu dilihat untuk mewakili sesebuah kaum di sesuatu kawasan namun bagaimana ia dilaksana perlu berlandaskan dengan perundangan sedia ada.
Baru-baru ini, Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Aidi Moktar dikecam selepas mencadangkan masyarakat Jawa dan Bugis di negeri ini diiktiraf sebagai anak negeri.
Mengenai program itu, sebanyak 700 gerai jualan dan 20 trak makanan beroperasi di sekitar Segama bermula 3.30 petang hingga 2 pagi, Isnin.
Selain itu, gerai jualan turut dibuka di lokasi lain di Lido, Penampang; Metro Town, Inanam dan Foh Sang, Luyang.
- BERNAMA