Cadangan hapus hukuman buang sekolah: 'Segalanya bermula dari ibu bapa' - Perunding
Israr Khalid
Disember 6, 2017 18:29 MYT
Disember 6, 2017 18:29 MYT
Sejak beberapa bulan lepas, Menteri Kemajuan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim mencadangkan supaya hukuman buang sekolah dimansuhkan.
Hukuman itu dilihatnya tidak akan memperbaiki keadaan kerana pelajar akan terus terbiar dan berisiko terjebak dengan pelbagai lagi gejala negatif, dan sebaliknya pelajar bermasalah perlu dihantar ke kelas pemulihan untuk memberi peluang kedua kepada mereka.
“Saya setuju kalau mereka diberikan program pemulihan yang terancang dan berstruktur supaya kelebihan dan kekuatan yang mereka miliki tidak disia-siakan, malah dapat dikenal pasti dan dimanfaatkan untuk mereka menyumbang kepada masyarakat.
”Kalau mereka dibuang terus, ia satu kerugian yang besar dan kita tidak akan mempunyai golongan pelapis yang ramai untuk membentuk negara,” kata perunding keibubapaan Parent Connect, Noor Afidah Abu Bakar ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.
Bagaimanapun jelasnya, melihat dari aspek yang lebih besar, segalanya bermula dari rumah.
Katanya, biarpun hukuman dimansuh, cara ditukar dan pelbagai program disusun, ia tidak akan berkesan sepenuhnya dalam membentuk atau memperbaiki peribadi dan sahsiah diri pelajar jika ibu bapa tidak memainkan peranannya.
Berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada tahun 2014, lebih 50 peratus kanak-kanak yang terlibat dalam gejala negatif adalah mereka yang tinggal bersama ibu bapa masing-masing.
Di mana silapnya?
Masa bersama. Afidah melihat kurangnya masa diluang antara ibu bapa dengan anak-anak kerana terlalu sibuk dalam mengejar rentak dan kehendak kehidupan masa kini.
“Ini kerana mereka merasakan anak remaja ni boleh berdikari dan hidup sendiri, jadi ibu bapa rasa tidak perlu meluangkan banyak masa bersama.
“Sedangkan anak remaja itu berada pada peringkat di mana mereka sedang mencari identiti. Jadi mereka memerlukan sokongan dari segi emosi yang sangat kuat daripada ibu bapa mereka sendiri. Mereka perlukan masa untuk meluahkan perasaan, menceritakan apa yang sedang dihadapi dalam hidup.”
Akibat daripada ketidakhadiran ibu bapa dalam hidup anak-anak mereka, maka disebabkan itu dilihat remaja lebih cenderung menjauhkan diri dari ibu bapa masing-masing dan meluangkan lebih masa dengan rakan-rakan mereka yang dirasakan lebih memahami hidup mereka.
Katanya lagi, jika ibu bapa tidak faham terhadap kecederungan, keperluan dan rentak anak remaja mereka, maka sukar untuk membimbing mereka.
Selain itu, komunikasi ibu bapa dengan anak juga faktor penting dalam pembentukan karektor dan pembawaan diri remaja ke sekolah juga khalayak yang lebih luas.
”Remaja ini di usia mereka sedang mencari identiti. Bagaimana mereka mencari identiti? Melalui apa yang dipertuturkan ibu bapa dan orang yang rapat dengan mereka.
“Kalau apa yang mereka dengan tentang diri mereka adalah kekurangan mereka, kenakalan mereka dan benda-benda negatif, maka itu akan membentuk konsep diri yang negatif.
"Kerana ibu bapa adalah pendidik, pembimbing atau guru pertama dan utama bagi seseorang anak itu,” tegasnya.
#buang sekolah
#ibu bapa
#Jabatan Kebajikan Masyarakat
#keluarga
#Kementerian Kemajuan Wanita Keluarga dan Masyarakat
#Masyarakat
#Noor Afidah Abu Bakar
#pemulihan
#Program
#Rohani Abdul Karim