Cadangan hapus duti import bantu nelayan naik taraf peralatan
Bernama
Disember 16, 2019 04:46 MYT
Disember 16, 2019 04:46 MYT
Penghapusan duti import terhadap peralatan menangkap ikan boleh mengurangkan harga kemudahan itu sekali gus membantu golongan nelayan menaik taraf peralatan mereka, kata Pengerusi Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) Abdul Hamid Bahari.
Beliau berkata penghapusan duti import berkenaan juga akan membolehkan nelayan membeli peralatan menangkap ikan lebih canggih seterusnya meningkatkan pendapatan bulanan golongan itu.
"Jika nelayan dapat membeli perkakas atau peralatan yang lebih canggih dan efisien, mereka akan kerap turun ke laut seterusnya meningkatkan hasil tangkapan mereka," katanya kepada Bernama pada Isnin.
Abdul Hamid berkata demikian sebagai mengulas laporan media mengenai cadangan seorang anggota Dewan Negara Datuk Razali Idris agar duti import terhadap peralatan menangkap ikan seperti pukat, jaring dan enjin dihapuskan bagi membantu meringankan beban golongan nelayan tradisi.
Menurut senator itu, harga peralatan menangkap ikan kini meningkat berkali ganda berikutan kejatuhan Ringgit Malaysia berbanding mata wang negara jiran terutamanya Thailand iaitu negara pengeluar kebanyakan barangan itu.
Menurut Abdul Hamid kadar duti import yang tinggi boleh memberi tekanan kepada nelayan sehingga golongan itu tidak mampu menaik taraf peralatan menangkap ikan sekali gus menyumbang kepada kemerosotan tangkapan hasil laut.
Abdul Hamid berkata selain terbeban dengan kadar duti import, nelayan juga berhadapan dengan situasi campur tangan peraih ikan yang memanipulasi harga hasil tangkapan, timbangan dan bekalan peralatan menangkap ikan sehingga terbeban dengan hutang.
Justeru, beliau mencadangkan agar nelayan membeli peralatan menangkap ikan terus dari Nekmat supaya tidak dimanipulasi pihak yang mahu mengaut keuntungan.
Jika nelayan dapat membeli barangan menangkap ikan tanpa cukai dari Nekmat maka sudah pasti ini akan memberi manfaat kepada nelayan, pengguna dan negara amnya.
"Biarlah satu organisasi (Nekmat) yang menjaga kepentingan nelayan sahaja diberi keutamaan untuk menghantar barangan (kemudahan dan peralatan menangkap ikan) ke seluruh negara," tambahnya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Terengganu Mat Yassin Mohammed berkata campur tangan orang tengah dapat dielakkan sekiranya kerajaan memberi keutamaan penuh kepada Nekmat untuk menguruskan jual beli peralatan menangkap ikan.
"Beri tugas kepada Nekmat untuk mengurus semua permit import sebagaimana Nekmat menguruskan subsidi diesel," katanya.
-- BERNAMA
#Abdul Hamid Bahari
#nelayan
#Pengerusi Nekmat
#penghapusan duti import
#peralatan menangkap ikan
#Razali Idris