Cadangan dasar ekonomi penjagaan negara, kuota guru KAFA antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini
Bernama
Disember 9, 2024 08:40 MYT
Disember 9, 2024 08:40 MYT
KUALA LUMPUR: Cadangan Dasar Ekonomi Penjagaan Negara dan kuota guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, perkara itu dibangkitkan oleh Rodziah Ismail (PH-Ampang) pada sesi soal jawab yang meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menjelaskan mengenai perancangan memperkenalkan dasar itu.
Beliau berkata, hal ini memandangkan ekonomi penjagaan mempunyai potensi ekonomi bernilai tinggi selain mengiktiraf sumbangan wanita melalui tugasan penjagaan dan domestik serta mencipta peluang pekerjaan baharu.
Pada sesi sama, Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) akan meminta Perdana Menteri menyatakan sama ada kerajaan bercadang menambah kuota guru KAFA di seluruh negara, dan penubuhan institut pendidikan guru KAFA serta kenaikan gred bagi penyelia KAFA.
Selain itu, Teresa Kok (PH-Seputeh) bertanyakan kepada Perdana Menteri status terkini bagi usaha pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya selain garis masa untuk melaksanakan reformasi institusi itu.
Sementara itu, Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) akan mengemukakan soalan kepada Menteri Pembangunan, Usahawan dan Koperasi berhubung tindakan kementerian mengawal koperasi yang bermasalah dari sudut pengurusan kewangan, dan langkah kawalan bagi menjamin ahli koperasi dan pelabur agar tidak terjerumus dengan kerugian dalam jumlah besar.
Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) pula akan bertanyakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengenai nilai pelaburan dan sektor industri yang akan dilaksanakan pelabur dari Korea Selatan di Malaysia dan nilai perdagangan khususnya eksport Malaysia ke Korea Selatan, hasil lawatan ke republik itu.
Selepas sesi soal jawab, persidangan diteruskan dengan pembentangan rang undang-undang untuk bacaan kali pertama antaranya Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) (No.2) 2024 dan Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No.2) 2024.
Selain itu, turut dibentangkan ialah Rang Undang-Undang Syarikat Labuan (Pindaan) 2024, Rang Undang-Undang Amanah Labuan (Pindaan) 2024, Rang Undang-Undang Yayasan Labuan (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Perkongsian Terhad dan Perkongsian Liabiliti Terhad Labuan (Pindaan) 2024.
Seterusnya, Rang Undang-Undang Profesion Undang-Undang (Pindaan) 2024, Rang Undang-Undang Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024, Rang Undang-Undang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2024, Rang Undang-Undang Industri Perkhidmatan Air (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 bakal dibentangkan bagi bacaan kali kedua.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung 35 hari bermula 14 Okt hingga 12 Dis. - BERNAMA