Cadangan caruman KWSP pekerja asing kekal sehingga kajian lanjut - Sim
Bernama
Februari 3, 2025 18:31 MYT
Februari 3, 2025 18:31 MYT
PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengekalkan cadangan kadar caruman mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing, masing-masing dua peratus buat pekerja dan majikan.
Ringkasan AI
- Kerajaan akan mengekalkan kadar caruman mandatori KWSP untuk pekerja asing pada dua peratus bagi pekerja dan majikan.
- Kadar ini akan dikekalkan sehingga kajian lanjut dijalankan untuk menilai kesesuaian semasa.
- Kementerian Kewangan mencadangkan kadar caruman KWSP untuk pekerja asing dan majikan dengan kontrak sedia ada dilaksanakan secara berperingkat sehingga mencapai kadar caruman yang sama dengan pekerja di Malaysia.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata kadar tersebut akan dikekalkan sehingga kajian lanjut yang mengambil kira kesesuaian semasa dijalankan pada masa hadapan.
Beliau berkata maklumat lanjut mengenai pelaksanaan caruman mandatori tersebut akan diperincikan dalam mesyuarat Jemaah Menteri sebelum satu rang undang-undang bagi meminda Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 1991 dibentangkan di Dewan Rakyat pada sidang kali ini.
Berdasarkan takwim di laman sesawang rasmi Parlimen, persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 18 hari, dengan Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan usul itu selama tujuh hari bermula 4 Feb.
"Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan keadilan dalam pasaran buruh dengan memastikan perlindungan sosial bagi semua pekerja, selaras dengan piawaian antarabangsa seperti ketetapan Artikel 68 Konvensyen 102, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), iaitu hak sama rata perlindungan sosial kepada individu bukan warganegara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semasa pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan cadangan untuk mewajibkan semua pekerja bukan warganegara mencarum kepada KWSP bagi memastikan layanan yang adil kepada semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan.
Susulan itu, Kementerian Kewangan (MoF) mencadangkan kadar caruman KWSP diseragamkan untuk rakyat Malaysia dan warga asing dengan kontrak pekerjaan baharu. ni bermakna pekerja akan menyumbang 11 peratus manakala majikan menyumbang 12-13 peratus.
MoF turut mencadangkan kadar caruman untuk pekerja asing dan majikan dengan kontrak sedia ada dilaksanakan secara berperingkat bermula pada dua peratus dan meningkat secara berperingkat dalam tempoh enam tahun sehingga ia mencapai kadar caruman KWSP yang dikenakan kepada semua pekerja di Malaysia.
-- BERNAMA