Cadangan awal laluan MRT3 tidak masuk akal - Maria Chin
Hasimi Muhamad
Mei 9, 2022 15:03 MYT
Mei 9, 2022 15:03 MYT
KUALA LUMPUR: Cadangan awal laluan Lingkaran Transit Aliran Berkapasiti Tinggi 3 (MRT3) melalui Bukit Gasing adalah tidak masuk akal, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah.
Ini kerana jelas beliau, laluan tersebut bukan kawasan perumahan berpenduduk tinggi dan kurang menghadapi isu mobiliti, selain boleh menyebabkan kemusnahan satu lagi hutan simpanan.
Bagaimanapun, bekas pengerusi Bersih 2.0 itu menambah, ia bukan bermaksud beliau tidak bersetuju dengan pembangunan sistem pengangkutan awam yang sedang dilaksanakan.
"Namun, saya sentiasa menegaskan bahawa apa jua pembangunan, sama ada berkaitan dengan bangunan, pengangkutan atau kediaman, mesti mampan dan harus mempertimbangkan kesan sosial, ekonomi dan alam sekitar terhadap kehidupan rakyat.
"Merujuk semula ke isu laluan MRT3, pihak pemaju telah membuat keputusan bahawa laluan MRT3 tidak akan melalui Bukit Gasing tetapi akan terus menghubungkan Pantai ke Universiti Malaya, PPUM dan seterusnya ke Bukit Kiara untuk melengkapkan laluan lingkaran mereka.
"Ini berikutan bantahan penduduk menerusi Persatuan Penduduk Seksyen 5 PJ (RA5PJ), Persatuan Penduduk Seksyen 10 (S10RA), Gabungan Gasing (yang menyelaras aktiviti lebih 12 kumpulan penduduk di kawasan itu) dan Kelab Sahabat Bukit Gasing (FOBG)," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Maria berkata beliau sendiri telah berjumpa dengan pemaju dan mencadangkan kemungkinan menjadikan keseluruhan laluan MRT3 tersebut sebagai sistem bawah tanah memandangkan sebahagian laluan Bukit Gasing telahpun dicadangkan sebagai laluan bawah tanah.
"Terowong pintar SMART adalah satu contoh di mana kita sudahpun mempunyai teknologi dan pengetahuan, dan kita boleh membina kereta api di bawah tanah agar mengurangkan kesan ke atas sosial, ekonomi dan alam sekitar.
"Pada penghujung hari, cadangan-cadangan dan bantahan-bantahan ini tidak dipertimbangkan dan pemaju memilih penyelesaian yang berbeza.
"Dalam sebarang pembangunan, mesti ada cara yang lebih baik untuk memastikan bangunan atau pengangkutan dibina secara lebih mampan, tetapi pemaju nampaknya tidak mahu menyesuaikan diri dengan pembangunan yang lebih berorientasikan rakyat," ujarnya lagi.
Projek MRT3 dimansuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) namun disambung semula apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersetuju untuk meneruskan projek berkenaan.
Projek itu bertujuan untuk menghubungkan MRT1 yang telah siap dari Sungai Buloh ke Kajang dengan MRT2 yang sedang dibina dari Sungai Buloh ke Putrajaya.