Cadang wajibkan semula pakai pelitup muka di tempat terbuka, beri dos penggalak kedua

Ridauddin Daud
Julai 9, 2022 15:26 MYT
Kerajaan perlu mempertimbangkan untuk mewajibkan semula pemakaian pelitup muka di tempat terbuka sehingga lonjakan kes COVID-19 semakin reda. - Gambar Fail
KUALA LUMPUR: Kawalan pergerakan tidak perlu dilaksanakan kembali namun kerajaan perlu mempertimbangkan untuk mewajibkan semula pemakaian pelitup muka di tempat terbuka sehingga lonjakan kes COVID-19 semakin reda.
Pakar Kimia Perubatan dari Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Bimo Ario Tejo juga mencadangkan agar dos penggalak kedua diberikan kepada golongan berisiko selain menambah bekalan ubat antivirus molnupiravir dan nirmatrelvir.
Menurutnya, tiga cadangan itu merupakan strategi jangka pendek dan selepas ini, kerajaan seharusnya memikirkan strategi jangka panjang untuk mendepani gelombang COVID-19 yang seterusnya.
BACA: Subvarian Omicron BA.5 mungkin sudah merebak di Malaysia - Khairy
Tambah beliau, usaha penemuan ubat antivirus perlu diperhebat kerana Malaysia tidak boleh hanya bergantung pada dua jenis ubat antivirus sedia ada yang diimport dari luar negara.
“Virus terus bermutasi dan varian baharu akan terus muncul. Usaha pembuatan vaksin yang berkesan untuk kesemua varian perlu dimulakan.
“Vaksin pan-coronavirus yang memberi kekebalan terhadap semua varian boleh direka dengan mengambil kira jujukan kesemua virus dalam kumpulan coronavirus beta.
Ramai dah mula tak pakai pelitup muka, masih wajib - Khairy
“Vaksin semburan hidung (intranasal) pula menunjukkan keberkesanan pencegahan jangkitan lebih baik dibanding vaksin yang diberikan melalui suntikan.
“Institut Genom dan Vaksin Malaysia perlu diberi mandat untuk mengusahakan pembuatan vaksin COVID-19 baharu,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Katanya lagi, negara maju pengeluar vaksin dan ubat mengutamakan kepentingan mereka sendiri sebelum membantu negara-negara miskin dan membangun.
Dos penggalak kedua bagi golongan 60 tahun ke bawah sedang diperhalusi
“Kemampuan untuk menghasilkan vaksin dan ubat sendiri adalah modal yang kukuh untuk mendepani cabaran gelombang baharu di masa hadapan,” ujarnya.
Astro AWANI pada Jumaat melaporkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata,t erdapat peningkatan sebanyak 31 peratus kes COVID-19 bagi tempoh 3 Julai hingga 7 Julai.
Menurutnya, sebanyak 13 kes subvarian Omicron dikesan setakat 30 Jun lalu, termasuk lima kes varian Omicron BA.5.
Jelas Khairy, BA.5 merupakan subvarian utama yang menyebabkan peningkatan kes COVID-19 di seluruh dunia ketika ini.
#pelitup muka #vaksin #varian baharu #Omicron #dos penggalak
;