Cadang sesi persekolahan bermula 8 pagi

Sinar Harian
Januari 31, 2023 16:43 MYT
Anuar berkata, kerajaan sepatutnya ada rasa belas kasihan dan empati pada keadaan guru-guru, ibu bapa dan anak-anak yang terpaksa bangun seawal jam 4.30 pagi. - Gambar hiasan/Astro AWANI
SHAH ALAM: Kerajaan disaran supaya menetapkan sistem persekolahan di Semenanjung bermula jam 8 pagi bagi meraikan konsep Malaysia Madani dan slogan 'Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara dan Negara Sejahtera'.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad berkata, kerajaan sepatutnya ada rasa belas kasihan dan empati pada keadaan guru-guru, ibu bapa dan anak-anak yang terpaksa bangun seawal jam 4.30 pagi.
"Jika di bandar terpaksa meredah kesesakan jalan raya seawal jam 6 pagi untuk ke sekolah.
"Di sekolah pedalaman pula, anak-anak kecil terpaksa jalan becak dan berlumpur. Ada yang terpaksa meredah denai kecil. Ada anak-anak yang terpaksa berperahu ke sekolah sedangkan hari masih gelap," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Malah kata beliau, ada anak-anak yang tidak sempat bersarapan bersama keluarga kerana bergegas ke sekolah.
"Jika kerajaan prihatin dengan kesejahteraan dan kesihatan rakyat, apa salahnya kita lakukan sesuatu yang betul untuk rakyat dengan mulakan sesi persekolahan pada jam 8 pagi," katanya. -- Sinar Harian
#sesi persekolahan #Malaysia Madani #kesesakan jalan raya #bermula 8 pagi
;