Cadang beri ganjaran pemandu bebas kesalahan jalan raya

Hilmi Malik
Mei 2, 2019 19:31 MYT
Mata ganjaran itu, kata Loke, mungkin dalam bentuk insentif kadar pengurangan bayaran insurans. - Gambar fail
Kementerian Pengangkutan bercadang memberi ganjaran kepada pengguna jalan raya yang bebas kesalahan jalan raya sebagai satu inisiatif bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata, setakat ini cadangan itu berada di peringkat fasa terakhir perbincangan yang turut melibatkan pihak berkaitan.
"Katakan dalam masa setahun, pemandu tak pernah lakukan kesalahan, tiada rekod saman, mungkin kita akan beri mata ganjaran.
"Mata ganjaran itu mungkin dalam bentuk insentif kadar pengurangan bayaran insurans (contohnya). Tetapi, ia belum muktamad lagi. Kalau dah muktamad, saya akan buat pengumuman," katanya.
Loke berkata demikian pada satu sidang media selepas merasmikan kempen keselamatan jalan raya 'Drive For Life' di sini hari ini.
Katanya, pihak kementerian akan bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mendapatkan data pengguna jalan raya.
Statistik pada 2017 menunjukkan hampir 7,000 kes kemalangan jalan raya dilaporkan dengan 20 peratus daripadanya berpunca dari faktor jalan raya dan juga kenderaan.
Kajian mendapati lebih 50 peratus di Malaysia kurang kesedaran dan pengetahuan mengenai penyelenggaraan kenderaan secara berkala di samping menggunakan alat ganti tulen.
#bebas kemalangan #Ganjaran #jalan raya #JPJ #kemalangan #keselamatan #polis #rekod bersih #saman
;