Cacar monyet: Malaysia sudah bersedia - Khairy

Madiha Abdullah
Mei 26, 2022 21:00 MYT
KKM juga bekerjasama rapat dengan Jabatan Veterinar Malaysia dan Perhilitan berkenaan dengan survelan haiwan import. - Gambar hiasan/Reuters
KUALA LUMPUR: Malaysia sudah bersedia menghadapi kemungkinan kemasukan kes cacar monyet dengan pelan strategik dan langkah kesihatan sewajarnya.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, ini termasuklah tatacara pengesanan, ujian sampel, siasatan, pengurusan kes serta kontak rapat serta langkah pencegahan dan kawalan bermula di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) negara.
"Kementerian Kesihatan (KKM) sudah menyenaraikan beberapa pelan strategik untuk menangani kes kemasukan virus ini ke negara dan protokol adalah sama (seperti COVID-19) iaitu pengasingan, rawatan dan pemantauan.
"Selain itu, KKM juga melaksanakan pelbagai aktiviti pencegahan awal dalam komuniti seperti memastikan cukup peralatan untuk pengesanan awal, pengurusan kes di hospital, pengurusan kluster wabak sekiranya terjadi epidemik dan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran kepada orang ramai supaya tidak panik," katanya dalam sidang media secara maya dari Geneva, pada Khamis.
Tambahnya, KKM juga bekerjasama rapat dengan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Jabatan Veterinar Malaysia dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berkenaan dengan survelan haiwan import.
Ini perlu kerana cacar monyet bukan hanya dibawa oleh manusia, tetapi juga haiwan.
Bermula esok, ciri baharu MySejahtera akan mula digunakan membabitkan pengembara dari negara endemik cacar monyet dan negara bukan endemik, di mana mereka akan menerima pop-up amaran kesihatan.
Pengembara ini akan diingatkan untuk memantau simptom berkaitan selama 21 hari kerana tempoh inkubasi cacar monyet adalah sekitar tiga minggu.
Khairy juga memaklumkan ciri pengesanan kontak rapat dalam MySejahtera akan diaktifkan semula sekiranya keadaan memerlukan.
Beliau bagaimanapun menegaskan KKM belum mempunyai perancangan untuk melaksanakan program imunisasi cacar monyet secara besar-besaran seperti program vaksinasi COVID-19, sebaliknya hanya imunisasi bersasar untuk kontak rapat serta petugas kesihatan.
Setakat ini, Malaysia belum merekodkan sebarang kes cacar monyet dan kes yang tular sebelum ini sudah disahkan sebagai Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD).
#cacar monyet #Khairy Jamaluddin #Kementerian Kesihatan #KKM #MySejahtera
;