CAC secara maya untuk pesakit tidak bergejala - Dr Chong

Astro Awani
Julai 15, 2021 19:29 MYT
Dr Chong menjelaskan, pemantauan kes-kes tidak bergejala akan dibuat secara maya tanpa keperluan menghadiri secara fizikal di CAC. - Gambar/ BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mewujudkan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) secara maya bagi menguruskan kes pesakit COVID-19 yang tidak bergejala atau bergejala ringan.
Pengerusi Pasukan Petugas Khas COVID-19 Greater Klang Valley, Datuk Dr Chong Chee Keong menjelaskan, pemantauan kes-kes sedemikian akan dibuat secara maya tanpa keperluan hadir ke CAC secara fizikal.
"HSO (Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah) akan diberikan melalui aplikasi MySejahtera atau lain-lain aplikasi dan ia sah dari segi undang-undang.
"Walaupun tidak diberi gelang tetapi dari segi undang-undang mereka terpaksa berada di rumah... isolasi di rumah," katanya semasa sidang media khas pada Khamis.
Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan kehadiran pesakit di CAC sedia ada dapat dikurangkan seterusnya mengelak kesesakan.
Sebelum ini, Ketua Penyelidik Pengujian Kebolehgunaan Pendidikan Pusat Kecemerlangan Industri Kreatif Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Shamsul Arrieya Ariffin berkata, kerajaan perlu menggunakan sepenuhnya aplikasi serta teknologi untuk dalam isu kesesakan CAC, akhir-akhir ini.
Jelasnya, ia termasuk menaik taraf aplikasi MySejahtera seperti yang dilakukan dalam proses pengambilan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Sebelum ini, tular gambar serta rakaman video memaparkan keadaan sesak ribuan orang beratur panjang di CAC Dewan Sukan Klang dan Stadium Malawati, Seksyen 13, Shah Alam, Selangor.
Penyebaran gambar dan video disertai pelbagai kapsyen itu menggambarkan keadaan sangat serius, sehingga ada yang menyifatkannya sebagai 'medan perang', mencetus kebimbangan orang ramai.
#CAC #virtual cac #cac secara maya #kesesakan cac #COVID-19 #gejala ringan #Dr Chong Chee Keong
;