CAC maya bantu kurangkan kesesakan di CAC fizikal - Dr Adeeba

Bernama
Julai 28, 2021 16:26 MYT
Dengan CAC maya itu, pesakit yang asimptomatik atau bergejala ringan, serta mereka yang perlu menanggalkan gelang merah jambu tidak perlu lagi ke CAC fizikal. - Foto: Sukarelawan CAC
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) secara maya di Greater Klang Valley akan memastikan pemantauan awal semua kes positif, mengurangkan kesesakan CAC fizikal dan membolehkan CAC menumpukan kepada pesakit yang bergejala.
Pakar penyakit berjangkit Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman dari Universiti Malaya berkata, dengan CAC maya itu, pesakit yang asimptomatik atau bergejala ringan, serta mereka yang perlu menanggalkan gelang merah jambu tidak perlu lagi ke CAC.
"CAC secara maya dapat membantu menangani masalah kesesakan yang dihadapi di CAC fizikal seperti Stadium Malawati yang pada satu masa sebanyak 2,000 pesakit datang ke CAC itu hanya untuk memotong gelang merah jambu.
"Jadi, diharapkan dengan adanya CAC maya, CAC fizikal dapat memberi tumpuan kepada pesakit bergejala yang perlu mendapat rawatan sama ada di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Bersepadu (PKRCB) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) atau di hospital," katanya pada sidang media secara maya.
Dr Adeeba yang juga anggota Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata matlamat utama CAC maya yang diwujudkan awal minggu lepas ialah mengurangkan kematian dan penggunaan katil di hospital dan pusat kuarantin, serta mengurangkan jangkitan.
Beliau berkata dengan CAC maya, pesakit COVID-19 Kategori Satu dan Dua hanya perlu memaklumkan keadaan mereka menerusi aplikasi MySejahtera dan menjawab beberapa soalan, serta mengemas kini gejala yang akan dipantau secara maya, berbanding perlu hadir ke CAC fizikal.
"Perkara utama mengenai COVID-19 ialah kebanyakan pesakit tiada atau mendapat gejala ringan, namun berdasarkan data kira-kira 20 peratus akan beralih kepada penyakit lebih teruk, biasanya pada minggu kedua...dengan CAC maya kami akan dapat mengesan mereka dengan cepat sebelum keadaan mereka berubah menjadi lebih teruk yang tidak boleh dirawat lagi.
"Jadi, jika kami memantau mereka dengan baik di rumah menggunakan sistem automatik, disokong oleh sama ada pengamal perubatan am atau pusat panggilan...kami boleh meminimumkan kontak fizikal dan pada masa sama memfokuskan kepada mereka yang lebih sakit," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata keberkesanan suntikan ketiga vaksin COVID-19 atau 'suntikan penggalak' perlu dibahas dan dikaji dengan lebih mendalam sebelum sebarang keputusan dibuat untuk menggunakannya di dalam negara.
Beliau berkata pakar-pakar di Amerika Syarikat (AS) termasuklah Pentadbir Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) sendiri menyatakan bahawa ia bukan sesuatu yang disarankan pada masa ini.
"Apa-apa kajian di AS dan Eropah sekarang ini menggunakan vaksin jenis teknologi Messenger Asid Ribonukleik (mRNA) dan juga AstraZeneca, walaupun Pfizer mengeluarkan isyarat bahawa suntikan penggalak mungkin diperlukan tetapi pakar-pakar berpendapat lain...itu vaksin-vaksin yang dikaji secara intensif.
"Pengalaman dari negara-negara lain dan kajian saintifik mengenai vaksin Sinopharm dan Sinovac buatan China pula kurang berbanding vaksin mRNA dan AstraZeneca...kadar dan tempoh tindak balas imun vaksin itu kita tidak tahu dan ini juga perlu dikaji," katanya.
Mengenai penggunaan vaksin campuran dikenali sebagai heterologous prime and boost pula, Dr Adeeba berkata beberapa kajian mendapati penggunaan vaksin daripada teknologi berlainan seperti AstraZeneca dengan Pfizer atau Moderna untuk dos pertama dan kedua, menunjukkan respons imun yang amat baik.
"Ini mempunyai harapan sebagai satu teknik untuk menggalakkan tindak balas imun...ini sangat menarik tetapi secara praktikalnya kalau hendak buat mungkin tidak begitu mudah nak campur-campur vaksin.
"Bagaimanapun, kajian saintifik berkenaan Sinovac dan Sinopharm tidak sebanyak vaksin dari barat, kita sebenarnya belum tahu lagi dan perlu lebih lagi kajian," tambahnya.
-- BERNAMA
#COVID-19 #CAC #pusat penilaian COVID-19 #Lembah Klang #kes posotof #cac fizikal #Adeeba Kamarulzaman #cac maya #pesakit #gejala ringan
;