Cabutan WOW! Simpan SSPN 2023 tawar hadiah hampir setengah juta ringgit
Ehsan A Marisah
Januari 17, 2023 13:21 MYT
Januari 17, 2023 13:21 MYT
KUALA LUMPUR: Hampir RM500,000 wang tunai menanti 138 pemenang melibatkan pendeposit Simpan SSPN Plus dan Simpan SSPN Prime menerusi Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2023 anjuran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Kempen tahunan tersebut adalah usaha berterusan PTPTN dalam menggalakkan penabungan dan tanda penghargaan pihaknya kepada pendeposit Simpan SSPN.
Kali ini, cabutan terdiri daripada Cabutan Tahunan dan lima Cabutan Siri, iaitu WOW! Gong Xi Ang Pow; WOW! Syoknya Raya; WOW! Merdeka; WOW! Superheroes dan WOW! Y.E.S 2023.
Pendeposit hanya perlu membuka akaun atau membuat penambahan simpanan dalam tempoh kempen.
Setiap RM100 bagi Simpan SSPN Prime yang disimpan dalam tempoh kempen akan layak satu cabutan dan RM50 bagi SImpan SSPN Plus pula akan layak dua cabutan secara automatik.
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, kempen berkenaan turut memberi kelebihan bilangan cabutan berganda kepada pengguna aplikasi myPTPTN.
“Pendeposit Simpan SSPN Prime yang membuat simpanan RM100 melalui myPTPTN, akan mendapat bilangan cabutan sebanyak lima cabutan.
“Manakala, pendeposit Simpan SSPN Plus yang membuat simpanan RM50 melalui myPTPTN akan mendapat 10 cabutan,” katanya pada majlis Pelancaran Cabutan WOW! Simpan SSPN 2023 di sebuah hotel di sini, pada Isnin.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Abdul Razak Jaafar.
Dalam pada itu, Ahmad Dasuki menambah, PTPTN sebagai agensi di bawah KPT berperanan dalam memupuk budaya menabung sejak 2004 dengan menyediakan instrumen simpanan melalui Simpan SSPN.
“Simpan SSPN terus berada di landasan yang kukuh sebagai produk simpanan yang berdaya saing dan setanding dengan produk simpanan lain di pasaran dengan pelbagai keistimewan dan manfaat yang disediakan.
“Usaha berterusan dilakukan oleh PTPTN agar masyarakat Malaysia memperoleh manfaat daripada perancangan kewangan melalui produk simpanan yang diperkenalkan,” ujarnya.
Pada majlis sama, PTPTN turut menyampaikan sijil penghargaan kepada lima rakan strategik bagi kerjasama tahun 2022 sebagai simbolik kepada kejayaan kolaborasi dalam memperkasa dan memupuk budaya penabungan melalui Simpan SSPN.
Rakan strategik tersebut ialah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP); Kerajaan Negeri Sabah; Yayasan Veteran ATM (YVATM); Kao Laurier Malaysia dan Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB).
Untuk rekod setakat 31 Disember 2022, jumlah deposit Simpan SSPN adalah sebanyak RM14.24 bilion dengan bilangan akaun berjumlah 5.73 juta.