Cabut lari tinggal burung
Sinar Harian
April 6, 2022 18:18 MYT
April 6, 2022 18:18 MYT
TUMPAT: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 30 ekor burung baji bernilai RM1,200 di tepi sungai di pangkalan haram Kuala Jambu di sini pada Sabtu.
Rampasan dilakukan pasukan Batalion 9 PGA menerusi Op Wawasan pada jam 8 pagi.
Pegawai Pemerintah Medan PGA, Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam operasi penugasan di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan sepasukan anggota membuat intipan di pangkalan haram Kuala Jambu dan melihat seorang lelaki sedang turun dari perahu sambil membawa dua sangkar yang berwarna biru mengandungi beberapa ekor burung.
“Pasukan keluar dari kawasan intipan dan menghampiri lelaki tersebut namun dia bertindak meninggalkan sarang burung dan lari menaiki perahu ke arah Thailand.
“Pemeriksaan awal mendapati terdapat dua sangkar burung mengandungi 15 ekor burung setiap satu sangkar,” katanya kepada pemberita di sini, pada Rabu.
Menurutnya, pasukan PGA menunggu selama setengah jam tetapi tiada siapa-siapa yang datang menuntut burung berkenaan.
“PGA seterusnya merampas sangkar dan burung serta dibawa balik ke Kompeni Taktikal (Komtak) Kuala Jambu untuk tindakan selanjutnya.
“Laporan dibuat untuk tindakan pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Rantau Panjang, Kelantan,” katanya.
Tambah beliau, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 11(1) Akta Maqis 2011.
ARTIKEL ASAL DISIARKAN DI SINAR HARIAN