Cabul kehormatan bekas isteri, warga emas mengaku tidak bersalah
Astro Awani
April 8, 2019 16:58 MYT
April 8, 2019 16:58 MYT
Seorang warga emas mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencabul kehormatan bekas isterinya ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Isnin.
Tertuduh yang berusia 61 tahun dari Merchang, Marang itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan itu.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa yang berusia 45 tahun dengan niat mencabul kehormatan.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Gong Balai Merchang pada 4 April lalu kira-kira jam 12 tengah hari.
Tertuduh yang dikatakan sudah bercerai hampir tiga tahun dengan mangsa datang ke rumah wanita itu atas alasan membaiki rumah.
Mahkamah menetapkan 22 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.
#cabul bekas isteri
#cabul kehormatan
#guna kekerasan jenayah
#Kampung Gong Balai Merchang
#Noor Mazrinie Mahmood
#Nur Nabihah Hanin Ayim
#warga emas