Cabaran urus 8 anak, laksana PdPR selepas pulih COVID-19

Fauzi Suhaimi
Januari 25, 2021 18:43 MYT
Kekurangan alat peranti untuk digunakan bagi tujuan PdPR salah satu masalah yang terpaksa dihadapi keluarga Zaisya Shamira. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Satu peranti mudah alih, dikongsi enam orang anak.
Itu realiti yang terpaksa dilalui sebuah keluarga dalam menempuh cabaran Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR).
Zaisya Shamira Abdul Shukor, 35, yang menetap di Bagan Serai, Perak memberitahu, pelaksanaan PdPR benar-benar menguji kesabarannya sejak hari pertama sesi persekolahn 2021 dibuka pada 20 Januari lalu.
Mana tidaknya, tekanan yang dirasainya cukup besar apabila aktiviti PdPR dilakukan secara serentak.
Ibu kepada lapan orang anak berkata, dia terpaksa membuat sistem giliran untuk memastikan anak-anaknya tidak tercicir dalam pendidikan.
"Kekurangan alat peranti untuk digunakan bagi tujuan PdPR salah satu masalah yang terpaksa kami hadapi, ada banyak lagi masalah lain yang kami lalui.
"Selain menguruskan anak yang masih kecil, tumpuan penuh perlu diberikan kepada anak-anak yang bersekolah.
"Ini kerana, mereka sukar untuk menumpukan sepenuhnya perhatian terhadap sistem PdPR meskipun dibuat melalui panggilan video. Jadi kita kena selalu ada dekat dengan mereka," katanya menerusi slot Cerita di Astro AWANI di sini, pada Isnin.
Zaisya Shamira berkata, pengurusan masa antara langkah yang digunakan beliau bagi memastikan proses PdPR anak-anaknya berjalan dengan lancar.
"Saya terpaksa bahagi masa untuk menyelesaikan seorang demi seorang. Ini cabaran buat kami yang mempunyai anak ramai.
"Kebiasaannya, saya mulakan dengan anak darjah satu dahulu dan selepas selesai, saya akan sambung dengan anak darjah dua dan seterusnya," katanya.
Dalam perkembangan lain, Zaisya Shamira turut menasihatkan agar masyakarat tidak memandang serong terhadap semua pesakit COVID-19.
Ini kerana, menurutnya, sikap suka menyalahkan individu yang menghidap jangkitan itu antara punca menyebabkan mereka berasa tertekan dan tersisih.
"Apabila saya sendiri merasai pengalaman selepas disahkan positif COVID-19, baru saya faham perasaan pesakit lain yang selama ini amat tertekan dengan sikap masyarakat yang suka menghukum.
"Bukan sahaja tertekan dengan penyakit yang masih belum ada penawar, tetapi tertekan dengan sikap segelitir masyarakat yang memandang serong terhadap individu yang menghidap penyakit ini," ujarnya lagi.
Cerita Sebalik Berita: Ibu 8 anak | Cabaran PdPR selepas pulih COVID-19
#PdPR #pendidikan #keluarga #COVID-19 #anak ramai #pelajar sekolah #Pengajaran dan Pembelajan di Rumah #PdPR m
;