Cabaran perkhidmatan awam pasca COVID-19

Astro Awani
Julai 31, 2021 08:55 MYT
Adakah kepenggunaan pejabat besar dan kompleks kerajaan akan mengubah cara dan kaedah kerja seperti yang berlaku di negara-negara maju yang sudah adaptasikan cara kerja mereka? -Gambar hiasan
NEGARA kita Malaysia sudah menghampiri dua tahun mengharungi pandemik luar biasa yang telah meragut jutaan insan seluruh dunia.
Pada masa yang sama, jumlah jangkitan menampakkan trend yang kian meningkat, yang amat menggusarkan kita mutakhir ini.
Sebagai individu dan rakyat di tanah air tercinta ini, mahu tidak mahu kita juga mungkin menjadi antara penyumbang kepada peningkatan tersebut.
Malahan gaya hidup kita juga secara automatik berubah akibat jangkitan ini.
Ledakan varian yang lebih ganas menyebabkan fungsi perkhidmatan awam juga terkesan dari pelbagai segi, khususnya pengendalian rutin harian kakitangan, urusan kekeluargaan, perjalanan mesyuarat, persekolahan anak-anak dan banyak lagi fungsi baharu yang sedang dan akan diterokai oleh setiap warga perkhidmatan awam.
Norma baharu ini adalah hanya permulaan kepada gaya hidup yang lebih kompleks ataupun boleh dilihat sebagai going back to basics.
Dalam sesuatu bencana khususnya berstatus pandemik yang melanda sesebuah negara dan masyarakat, menangani ekosistem pasca-bencana adalah lebih kritikal dan membebankan.
Ini kerana landskap sosio-ekonomi dan politik juga berubah dengan drastiknya akibat daripada keperluan hidup yang baharu.
Rakyat menagih sistem yang lebih telus dan adil, kesaksamaan dalam agihan kek ekonomi, sistem pendidikan yang berorientasikan egalitarian, struktur pentadbiran kerajaan yang didorong oleh kreativiti dan inovasi, dan bukannya dipandu oleh rent seekers, sistem politik yang bukan berteraskan kepada patronage dan banyak lagi bidang keberhasilan yang perlu dirombak dengan halus, strategik dan berstruktur.
Sintaksisnya perkhidmatan awam hari ini perlu bergerak secara tuntas dan strategik dalam mendepani cabaran pasca COVID-19.
Pelan strategik kementerian serta agensi perlu dilihat semula supaya kes COVID-19 dapat ditangani dengan bijak dan bukan menjadi punca kepada statistik yang lebih parah.
Pengaplikasian teknologi mahupun internet of things (IOT) antara lainnya perlu digarap dengan lebih meluas supaya tempoh keberadaan di pejabat lebih efektif dari segi masa, tenaga dan kos.
Program dan inisiatif kerajaan elektronik juga perlu mengambil kira ekosistem pasca bencana supaya tidak berfungsi secara silo dan territorial.
Keperluan sebegini tidak akan membebankan jika ia dilaksanakan dengan holistik meskipun hanya menggunakan tenaga pakar dalaman dan tanpa mengupah pakar-pakar luar.
Artikel kali ini akan menyentuh beberapa bidang keberhasilan utama yang berupaya menyumbang kepada era baru perkhidmatan awam yang lebih efektif dalam mendepani pelanggan dan rakyat yang lebih mengharapkan perkhidmatan mesra dan cekap.
Pengurusan ruang (space management)
Bunyinya mungkin agak asas dan juga rencam. Hakikatnya keperluan ruang pasca-COVID sudah tentu akan memberi impak besar kepada kos dan tenaga kerja akibat daripada program Bekerja Dari Rumah (BDR).
BDR ini dilaksanakan merentasi pelbagai kementerian serta agensi dan kerajaan negeri.
Pendekatan ini adalah norma baharu untuk penjawat awam secara amnya dan ia mempunyai kelebihan dan kelemahannya tersendiri.
Pertikaian terhadap kejujuran dan komitmen terhadap kerja sering menjadi isu utama oleh ketua dan kakitangan.
Ini telah menyebabkan ada segelintir pihak pengurusan masih beroperasi kaedah prosedur lama dengan mesyuarat dan perbincangan secara fizikal di pejabat.
Ini juga kerana BDR telah memberi kesan kepada penggunaan optima ruang pejabat yang ketika ini ‘suram’ dengan kurangnya kehadiran staf dan pegawai di pejabat.
Umum mengetahui perkhidmatan awam adalah antara pemilik ruang terbesar (space owner) dalam negara.
Kita boleh lihat sahaja di mana ada kompleks kerajaan, ia juga menjadi penyumbang kepada pembangunan di sekitarnya jua.
Jumlah besar aset berbentuk bangunan (di peringkat Persekutuan dan Negeri) di lokasi strategik boleh menjadi sumber ekonomi baharu jika ia dilunaskan kepada pelbagai aktiviti sosio-ekonomi.
Kos bebanan kerajaan akan meningkat berkadar langsung dengan kepenggunaan ruang asbab berkurangan akibat BDR.
Walau bagaimanapun, adalah kurang tepat jika kita fikir BDR perlu dihentikan secara total, malahan ia perlu diteruskan dengan pendekatan yang lebih berorentasikan produktiviti dan man-hours yang diperlukan untuk menyelesaikan projek dan permasalahan dengan lebih inovatif.
Ini kerana pelaksanaan BDR bukanlah untuk memenuhi keperluan statistik semata-mata.
Teknologi sebagai pemangkin
Sejak daripada pelaksanaan dasar dan inisiatif Multimedia Super Corridor (MSC) pada 1990an di negara kita dan pengaplikasian kerajaan elektronik, sistem dan prosedur sedia ada sudah banyak digunakan secara maya.
Dalam masa yang sama, kerja-kerja integrasi dan pembangunan sistem juga masih berterusan dengan kos yang tinggi.
Teknologi pasca-COVID perlu mengambil kira pelbagai aspek strategik kerana ia akan menjadi penentu kepada penyampaian perkhidmatan yang berkualiti tinggi.
Dalam hal ini kementerian serta agensi perlu memainkan peranan yang signifikan dalam mengenal pasti kaedah yang ‘menguntungkan’ pengoperasian pejabat supaya ia berciri hibrid dan fleksibel.
Pengurusan perubahan (change management) dalam perkhidmatan awam sudahpun dijadikan norma baharu dengan didasari teknologi terkini.
Ledakan data dan pengurusan data raya perlu ada penyelarasan yang berasaskan impak tinggi kepada rakyat.
Kepelbagaian maklumat kerajaan di pelbagai peringkat ini berupaya menjadi powerful tools in decision making process; dan kita tidak perlu alpa membina sistem baharu yang menggunakan data yang bertindih dan sudah ditelan dek zaman.
Penjawat awam juga perlu merubah mindset kepada lebih terbuka kerana senario luar jangka adalah norma baharu pada masa kini.
Ketangkasan penjawat awam masa hadapan akan diuji, khususnya dalam mengurus sumber dengan cost-benefit analysis yang lebih telus, bebas dan berintegriti.
Sumber manusia perkhidmatan awam juga perlu mempunyai keupayaan untuk bergerak seiring dengan kepantasan jangkitan COVID-19 supaya mortality rate dapat diurus dengan lebih berkesan.
Dalam hal ini, data adalah aset yang amat berharga dalam konteks pengurusan pasca bencana.
COVID-19 akan menjadi penyakit berjangkit ‘normal’ seperti batuk, demam, selesema dan demam denggi tidak lama lagi.
Sebagai konklusi dalam penulisan kali ini, kaedah serta gerak kerja di pejabat dan penggunaan lantai (space) akan menjadi persoalan utama apabila pandemik ini berjaya ditangani.
Terdapat juga Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang telahpun menggunakan pendekatan ini, iaitu mengoptimumkan masa kerja secara sistematik di mana sahaja mereka berada, dengan konsep pejabat terbuka (open-office) atau the-world-is-your-office.
Adakah kepenggunaan pejabat besar dan kompleks kerajaan akan mengubah cara dan kaedah kerja seperti yang berlaku di negara-negara maju yang sudah adaptasikan cara kerja mereka?
Suatu yang boleh mewujudkan gangguan (disruptive) dalam kerja harian kita pada pasca-COVID di abad ke-21.

* Shuhardi TR Aznan adalah calon PhD di Jabatan Sejarah Universiti Malaya. Pengkhususan kajian beliau adalah berkaitan evolusi Perkhidmatan Awam dan kesannya terhadap pembangunan institusi pasca DEB.
* Afdal Izal Md Hashim merupakan calon Ijazah Kedoktoran dalam bidang Keselamatan Antarabangsa dan Maritim di Graduate School of International Relations, International University of Japan, Niigata, Jepun. Kedua penulis adalah ahli i-Institute of Orange Thinkers (i-OT).
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#COVID-19 #penjawat awam #gaya hidup #sosio ekonomi #perubahan #Masyarakat #kerja #pengurusan ruang
;