Cabaran pelajar Sabah, Sarawak jadi tumpuan Kementerian Pendidikan

Arfa Yunus
Julai 8, 2014 19:08 MYT
KAMALANATHAN: Berikan masa untuk proses menambah baik. -AstroWANI
Kementerian Pendidikan sedang meniliti cadangan membina asrama tambahan bagi kegunaan pelajar sekolah yang tinggal di pedalaman Sabah dan Sarawak di samping membina lebih banyak sekolah berdekatan kawasan penempatan bagi menyelesaikan masalah pelajar yang terpaksa berjalan kaki beberapa jam untuk ke sekolah.
Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan berkata, pihak kementerian sedang mengkaji beberapa alternatif bagi menyelesaikan masalah ini.
“Beri kami masa. Kami sedang dalam proses untuk menambah baik. Apa yang kami ingin lakukan adalah memastikan sekolah-sekolah yang dibina berdekatan dengan kawasan penempatan dan jika jauh, kami akan sediakan hostel.
“Kami akan terus memantau untuk mencari jalan penyelesaian terbaik yang dapat membantu pelajar-pelajar ini mendapatkan pendidikan kerana konsep kami adalah menyediakan pendidikan untuk semua dan kami mahu memastikan tiada siapa yang terpinggir,” kata Kamalanathan dalam satu sidang media di Putrajaya pada Selasa.
Pelajar-pelajar yang berada di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak terpaksa berdepan cabaran berjalan kaki antara tiga hingga enam jam sehari untuk ke sekolah.
Mereka juga berdepan bahaya kerana terpaksa melalui hutan tebal, jambatan gantung, sungai dan sebagainya.
“Saya pernah ke sebuah sekolah di Beluran, Sarawak di mana pelajar di situ terpaksa berjalan merentasi kumpulan gajah dan melalui hutan di kawasan tersebut,” tambah Kamalanathan.
Selain faktor jarak, kemudahan yang tidak cukup dan bangunan usang turut membelenggu mereka.
Pada pembentangan Bajet 2014 Oktober tahun lalu, 33 sekolah baru akan dibina disamping menaik taraf sekolah sedia ada yang usang di seluruh negara dimana ia membabitkan peruntukan sebanyak RM831 juta.
Tinjauan wartawan Astro AWANI pada tahun lalu di Kampung Pukak, Tuaran, Sabah mendapati pelajar sekolah rendah di situ berulang-alik ke sekolah selama tiga jam setiap hari.
#Kementerian Pendidikan #p kamalanathan #pelajar #Sabah #Sarawak #sekolah
;