Cabaran pasukan penyelamat di lokasi nahas helikopter
Tan Su Lin
April 5, 2015 21:02 MYT
April 5, 2015 21:02 MYT
Kawasan hutan yang berbukit bukau antara cabaran utama operasi pencarian nahas helikopter terhempas.
Keadaan geografinya yang begitu mencabar sehingga pasukan penyelamat terpaksa membahayakan diri untuk mencari mangsa dan serpihan pesawat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih, Khairul Anuar Yaacob memaklumkan anggota penyelamat terpaksa melalui kawasan cerun bukit yang berbahaya untuk sampai ke lokasi nahas.
"Tinggi bukit itu lebih kurang 100 hingga 200 kaki dan cabaran paling utama adalah helikopter itu terhempas di antara lereng bukit."
"Jadi untuk kita pergi ke lokasi itu, kami terpaksa menuruni bukit yang agak curam untuk pergi ke tempat kejadian," katanya kepada Astro AWANI di lokasi kejadian di Kampung Sungai Pening, Semenyih.
Antara yang paling awal tiba, Khairul Anuar berkata sukar untuk menggambarkan keadaan di lokasi nahas.
"Apabila kami sampai kami mendapati helikopter itu sedang terbakar."
"Perasaan saya memang hiba, memang sedih. Walau bagaimanapun saya terpaksa ketepikan semua perasaan itu sebab keutamaan kami adalah untuk menyelamatkan mangsa," kata Khairul.
Pihak penyelamat juga pada mulanya berdepan cabaran mencari bangkai pesawat berikutan tidak mempunyai lokasi tepat nahas.
"Kami ada menerima panggilan kecemasan tetapi kami tidak mempunyai lokasi yang tepat. Jadi saya pecahkan anggota kami kepada beberapa kumpulan kecil untuk melakukan pencarian. Salah satu kumpulan berjaya menemui pesawat lima minit selepas kami sampai," kata Khairul.
Namun di sebalik cabaran yang terpaksa dihadapi, pihak penyelamat berjaya mengeluarkan kesemua mangsa kira-kira 11.30 malam pada hari yang sama.