Cabaran pasaran buruh dalam kalangan graduan baharu

Astro Awani
Januari 25, 2023 11:20 MYT
Beberapa perkara perlu diberi perhatian oleh pihak berkepentingan dalam mengatasi cabaran graduan baharu dalam pasaran buruh. - Gambar hiasan/BERNAMA
ISU keberhasilan graduan harus dilihat secara lebih menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada kejayaan mendapatkan pekerjaan semata-mata.
Satu kajian oleh Khazanah Research Institute merungkai beberapa dapatan penting yang perlu diberi perhatian oleh pihak berkepentingan dalam mengatasi cabaran graduan baharu dalam pasaran buruh.
Separuh graduan berjaya mendapatkan pekerjaan sebaik tamat pengajian
Analisis sepuluh tahun sejak 2010 hingga 2020 menunjukkan kadar kebolehpasaran graduan yang tinggi, melebihi 75 peratus. Dari peratusan ini, separuh daripada graduan berjaya mendapatkan pekerjaan dalam tempoh setahun selepas menamatkan pengajian. Sejak 2012, jumlah keluaran tahunan graduan warganegara melebihi 200,000 orang dan separuh daripadanya berjaya mendapatkan pekerjaan dalam tempoh setahun selepas menamatkan pengajian Manakala selebihnya memilih untuk menyambung pengajian, menyertai program-program peningkatan kemahiran dan sebahagian kecilnya sedang menunggu penempatan pekerjaan. Peratus graduan yang belum bekerja dalam tempoh setahun selepas menamatkan pengajian juga menunjukkan aliran yang menurun, daripada 27 peratus pada tahun 2010 kepada 14peratus pada tahun 2019.
Majoriti graduan masih terperangkap dengan struktur gaji permulaan yang rendah
Bagi tempoh 10 tahun kebelakangan ini, tiga daripada empat graduan hanya memperoleh gaji permulaan di bawah RM2,000, menunjukkan struktur gaji permulaan graduan yang tidak menunjukkan pertumbuhan yang positif serta memberangsangkan. Malah, gaji rendah ini turut berkait rapat dengan kurangnya penciptaan pekerjaan berkemahiran dan struktur pekerjaan yang tertumpu kepada bidang separa mahir. Di samping itu, peratusan graduan yang bekerja dalam kategori pekerjaan tetap dan sepenuh masa juga semakin menurun dan hampir separuh bekerja dengan status kontrak atau separuh masa. Malah, peratusannya adalah lebih tinggi dalam kalangan graduan wanita walaupun lebih ramai graduan wanita dengan kelayakan ijazah. Bahkan, graduan wanita yang bekerja kebanyakannya mendapat tempat dalam pekerjaan separuh mahir menyebabkan mereka terperangkap dengan gaji permulaan yang lebih rendah.
Lebih ramai graduan memilih untuk bekerja sendiri namun ia tidak dilihat sebagai pilihan kerjaya masa hadapan
Analisis juga menunjukkan semakin ramai graduan memilih untuk menjadi usahawan berbanding bekerja tetap dan peratusannya lebih tinggi dalam kalangan graduan TVET. Biarpun bidang keusahawanan tidak disangkal lagi mampu menawarkan peluang pendapatan yang lumayan, tetapi kebanyakan graduan melihat keusahawanan sebagai jalan sementara untuk keluar daripada pengangguran. Malahan graduan yang berkecimpung dalam bidang usahawan ini juga masih berhasrat untuk meneroka peluang pekerjaan yang lebih terjamin dengan pendapatan yang stabil.
Bidang TVET semakin mendapat perhatian dengan keberhasilan yang lebih memuaskan, namun gaji permulaan yang diterima kekal rendah
TVET telah menjadi fokus kerajaan sebagai suatu bidang utama selari perkembangan industri revolusi 4.0. Analisis mendapat keberhasilan dalam kalangan graduan baharu TVET adalah lebih baik. Contohnya, terdapat peningkatan dalam kalangan mereka yang mendapatkan pekerjaan daripada 49 peratus pada tahun 2010 kepada 66peratus pada tahun 2020. Keberhasilan bagi mereka yang mempunyai ijazah dalam kalangan graduan TVET juga dilihat lebih baik. Namun, isu struktur gaji masih mencengkam graduan dengan 90peratus graduan TVET memperolehi gaji di bawah RM2,000. Disebabkan majoriti graduan TVET menamatkan pengajian dengan kelayakan diploma dan sijil kemahiran, pekerjaan mereka tertumpu kepada pekerjaan separa mahir yang pastinya menawarkan gaji permulaan yang sangat rendah.
Keberhasilan dalam kalangan graduan dari keluarga berpendapatan rendah
Majoriti graduan berasal dari keluarga berpendapatan rendah (gaji di bawah RM4,000). Tujuan suburnya pendidikan tinggi adalah untuk peningkatan mobiliti sosial, namun graduan dari keluarga berpendapatan rendah menghadapi situasi yang lebih mencabar dalam pasaran buruh. Dapatan kajian menunjukkan satu daripada lima graduan yang menganggur berasal daripada kalangan keluarga berpendapatan rendah. Malah, graduan dari keluarga berpendapatan rendah juga dilihat menerima gaji permulaan yang lebih rendah dan lebih terdedah kepada isu ketidakpadanan pekerjaan.
KESIMPULAN
Pelbagai inisiatif yang direncanakan kebanyakannya memberi tumpuan khusus melahirkan graduan yang serba berkebolehan dalam mengharungi cabaran dalam pasaran buruh. Tumpuan khusus juga perlu diberikan terhadap penawaran dan pewujudan pekerjaan berkemahiran dengan pendapatan yang wajar kepada tenaga kerja.
#graduan #peluang pekerjaan #ekonomi #Pasaran buruh
;