Cabaran media sosial: Tanggungjawab syarikat media sosial kekang keganasan
Harits Asyraf Hasnan
Mac 28, 2019 05:25 MYT
Mac 28, 2019 05:25 MYT
Dalam usaha mengekang kandungan tidak sesuai seperti yang berunsur keganasan daripada disiarkan di media sosial, kerjasama diantara syarikat penyedia platform media sosial dan penguatkuasa termasuk agensi kerajaan adalah amat penting.
Ia termasuk persoalan berkenaan sejauh mana tanggungjawab yang harus dipikul oleh penyedia platform media sosial dalam memastikan persekitaran media sosial bebas daripada unsur negatif.
Berdasarkan kaji selidik yang dilakukan syarikat kajian pasaran dalam talian, Vase.ai dengan kerjasama Astro AWANI, 70 peratus atau 759 responden bersetuju bahawa penyedia platform media sosial bertanggungjawab dalam menyediakan informasi kepada kerajaan berkenaan aktiviti yang diragui sekali gus membantu mengekang aktiviti keganasan.
Namun, 266 responden atau 25 peratus menyatakan tanggungjawab bergantung kepada keadaan manakala lima peratus atau 55 responden menyatakan ia bukan tanggungjawab syarikat media sosial.
Ditanya sama ada syarikat media sosial sepatutnya menyemak dan menilai kandungan media sosial sebelum disiarkan, 902 responden atau 84 peratus menyatakan persetujuan.
Bagaimanapun, 16 peratus atau 178 responden menyatakan tidak dengan cadangan tersebut yang turut mencadangkan supaya video siaran langsung disiarkan secara tertunda bagi membolehkan semakan dan penilaian dibuat.
Bagi penganalisis politik dan media sosial dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Madya Dr C. Sara, perlu diakui bahawa syarikat-syarikat media sosial mempunyai kelemahan dalam mengawal kandungan di platform tersebut.
“Mesej yang jelas adalah syarikat-syarikat media sosial ini mempunyai kelemahan dari segi kawalan terutama seperti siaran langsung.
“Ini kerana apa yang dimuat naik di media sosial, mereka tidak dapat mengawal jenis kandungan yang mempunyai keganasan.
“Ia amat jelas dalam kronologi yang berlaku di dalam kes di Christchurch,” katanya dalam temubual bersama Astro AWANI sebelum ini.
#Astro Awani
#banteras keganasan
#Hukuman
#kaji selidik
#keganasan
#media sosial
#New Zealand
#Prof Madya Dr C Sara
#tindakan
#UiTM
#Universiti Teknologi MARA
#Vase Technologies Sdn Bhd