Cabaran Laut Antarabangsa Labuan 2019 jadi tarikan pulau bebas cukai
Bernama
April 17, 2019 05:07 MYT
April 17, 2019 05:07 MYT
Cabaran Laut Antarabangsa Labuan 2019 (LISC) dari 23 hingga 28 April ini dijangka menarik ramai pengunjung ke pulau bebas cukai itu, dengan sekurang-kurangnya 20 acara mencabar termasuk beberapa cabaran baharu menanti buat mereka.
Acara tahunan itu yang bermula pada 1997, memberikan Labuan satu imej positif di peringkat antarabangsa dengan penyertaan dari seluruh dunia, terutama pertandingan memancing laut dalam yang sebelum ini dikenali sebagai Pertandingan Memancing Antarabangsa Labuan Rolex IGFA.
Enam acara utama termasuk Pertandingan Memancing LISC Daiwa, Cabaran Berenang Rentas Selat, Pertandingan Memancing dari Pulau ke Pulau, Cabaran Berkayak Pusing Pulau Labuan dan 14 sukan sokongan disenaraikan sepanjang acara yang dianjurkan pelbagai agensi, kelab dan persatuan.
Dalam satu kenyataan kepada Bernama, penganjur utama Perbadanan Labuan berkata acara berkenaan dijangka menarik sekurang-kurangnya 30,000 pengunjung ke pulau ini sepanjang acara enam hari itu.
Pertandingan Memancing Laut Dalam LISC Daiwa adalah satu lagi acara utama yang dijangka menarik penyertaan kaki pancing luar dan tempatan.
-- BERNAMA