Cabaran kerajaan tambah baik institusi awam dan dasar

Bernama
November 2, 2018 17:00 MYT
Pada Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2018, Malaysia menduduki tangga ke-24 daripada 140 negara bagi tonggak institusi dan lebih baik berbanding negara serantau seperti Thailand (60) dan Filipina (101). - Gambar hiasan
Malaysia kini menghadapi cabaran memastikan usaha menambah baik institusi awam, dasar dan faktor yang mempengaruhi daya saing negara dilaksanakan bagi memulihkan semula kepercayaan serta meningkatkan keyakinan rakyat kepada kerajaan.
Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2019 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, kepercayaan akan menggalakkan pertumbuhan pembangunan ekonomi dengan meningkatkan kecekapan pengumpulan modal fizikal, mempercepat penyebaran teknologi dan menambah baik peranan institusi perundangan politik dan sosial.
"Kepercayaan terhadap kerajaan ditunjukkan menerusi tonggak pertama Indeks Kompetitif Global (GCI) oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang merujuk kepada persekitaran institusi iaitu kerjasama antara kerajaan, firma dan individu untuk menjana kejayaan," kata laporan itu.
Pada Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2018, negara menduduki tangga ke-24 daripada 140 negara bagi tonggak institusi dan lebih baik berbanding negara serantau seperti Thailand (60) dan Filipina (101).
Selain itu, Malaysia juga mencapai prestasi yang baik dalam beberapa penunjuk seperti peraturan konflik kepentingan (4), bahan peraturan kerajaan (5), dan kualiti pentadbiran tanah (6).
"Bagaimanapun, beberapa petunjuk memerlukan penambahbaikan seperti kebebasan akhbar (118), ketelusan belanjawan (77), kejadian rasuah (55) dan kebebasan kehakiman (33)," demikian menurut laporan itu.
Laporan Tinjauan Ekonomi 2019 antara lain turut mendedahkan beberapa bidang dalam sektor keusahawanan perlu dipertingkatkan oleh kerajaan biarpun Malaysia berada pada kedudukan ke-58 daripada 137 negara dalam Indeks Keusahawanan Global (GEI) 2018.
"Negara berada pada kedudukan yang baik dalam bidang proses inovasi, modal insan yang kukuh, peluang yang banyak untuk syarikat baharu dan rangkaian yang kukuh. Namun, terdapat bidang yang perlu dipertingkatkan termasuklah penyerapan teknologi, inovasi produk, pertubuhan perniagaan dan modal risiko," katanya.
Bagi memenuhi jangkaan perniagaan terutamanya, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan, kerajaan komited untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif dengan mempermudah dan memperkenalkan peraturan mesra pengguna, demikian menurut laporan itu.
Dalam laporan Tinjauan Ekonomi 2019 itu juga, kerajaan turut berdepan pelbagai isu berkaitan kesejahteraan rakyat termasuklah peningkatan kos sara hidup di bandar, kekurangan zat makanan kanak-kanak miskin bandar, ketaksamaan gender, pengurusan sisa pepejal, kualiti pendidikan dan penjagaan kesihatan dan kekurangan perumahan mampu milik.
Laporan itu menyebut terdapat juga keperluan untuk memperluaskan dan menambah baik sistem pengangkutan awam di luar Lembah Klang serta kawasan bandar selaras dengan peningkatan penekanan terhadap pertumbuhan inklusif.
"Bagaimanapun menurut Malaysian Economic Monitor (World Bank, 2015) hanya 17 peratus pengguna di Kuala Lumpur menggunakan pengangkutan awam berbanding Singapura (62) dan Hong Kong (89).
Berkenaan sistem pendidikan, kerajaan telah memperuntukkan jumlah yang besar dan melaksanakan pelbagai langkah memperkukuhkannya, namun keberhasilannya belum mencapai potensi sepenuhnya," menurut laporan itu.
Dalam bidang perkhidmatan penjagaan kesihatan awam pula, masih wujud beberapa masalah seperti masa menunggu yang lama, kesesakan di hospital dan kenaikan harga barang terutamanya penyakit tidak berjangkit (NCD) perlu diberikan perhatian.
"Kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengatasi masalah NCD seperti menggalakkan sektor swasta menyediakan pusat dialisis, meningkatkan program gaya hidup sihat dan memperluaskan penggunaan ubat-ubatan generik. Walau bagaimanapun NCD kekal sebagai satu punca utama kematian dalam kalangan rakyat Malaysia," menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2019.
-- BERNAMA
#dasr #daya saing negara #Forum Ekonomi Dunia #GCI #institusi awam #kerajaan #rakyat #tinjauan ekonomi #WEF
;