Cabaran guru muda Orang Asli didik anak-anak suku Bateq

Bernama
September 21, 2023 15:07 MYT
Kanak-kanak Orang Asli suku kaum Bateq, Zizan Zul,9, tekun membuat latihan subjek Matematik di Prokhas, Kampung Aring 5, Pos Lebir. - Gambar/ Bernama
GUA MUSANG: Perbezaan bahasa merupakan antara cabaran yang terpaksa dihadapi oleh dua guru muda Orang Asli dalam mendidik suku kaum Bateq di Projek Kelas Khas (Prokhas), Kampung Aring 5, Pos Lebir, di sini.
Guru Orang Asli suku kaum Semai dari Tapah, Perak, Romario Ariffin, 27, berkata meskipun ditugaskan mengajar murid dari etnik yang sama, namun perbezaan suku kaum menyebabkan proses pembelajaran dan pengajaran tidak semudah yang disangka.
Katanya pada awal penugasan empat tahun lepas, beliau tidak dapat mengelak rasa canggung untuk menyesuaikan diri dengan cara hidup suku kaum Bateq di penempatan tersebut, namun kini, beliau mula sebati dengan persekitaran yang dianggap sebagai keluarga keduanya.
"Saya ditugaskan mengajar 25 orang kanak-kanak berumur antara tujuh hingga sembilan tahun di Prokhas ini, mereka ini adalah murid yang memerlukan perhatian lebih sebelum dihantar belajar di sekolah arus perdana.
"Kebanyakan Orang Asli Bateq di pedalaman tidak dapat bertutur dan memahami Bahasa Melayu jadi saya menjadikan pelajar senior sebagai pengantara sepanjang sesi pembelajaran," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Aring 5, di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut Romario berkata antara cabaran lain adalah terpaksa meredah jarak perjalanan sejauh 35 kilometer dari Sekolah Kebangsaan (SK) Aring 1 ke Kampung Aring 5 setiap Isnin, Selasa dan Rabu, untuk mengajar di sekolah tersebut yang bermula 8 pagi hingga 12.45 tengah hari.
"Adakalanya dalam perjalanan saya berselisih dengan lori muatan bijih besi dan terserempak dengan binatang buas seperti gajah dan harimau kumbang.
"Walau bagaimanapun saya menganggap itu antara pengalaman hidup malah mereka yang ditugaskan di sekolah pedalaman Orang Asli tidak perlu risau dan harus mengambil peluang itu sebagai proses melatih diri (agar) lebih bersedia menghadapi pelbagai cabaran lain yang mendatang," katanya.
Bagi guru suku kaum Jakun dari Pekan, Pahang, Nazhan Suhendra Shamsuddin, 24, berkata Prokhas Kampung Aring 5 merupakan sekolah pertama beliau mengajar selepas menamatkan pengajian di Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis.
"Cabaran utama di sini kalau dalam bilik darjah adalah bahasa utama iaitu Bahasa Melayu. Lebih kurang 60 peratus murid kami tidak pernah keluar dari kampung dan berinteraksi dengan orang luar jadi bahasa ni memang satu cabaran bagi kami.
"Selain dari itu saya dan Romario yang menunggang motosikal bersama dari SK Aring 1 juga perlu membawa makanan untuk kesemua murid kerana mereka semua mendapat bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT). Tetapi cabaran ini semua kami dapat atasi bersama," katanya.
Meskipun menempuh pelbagai cabaran, kedua-dua guru muda itu tetap cekal dan berharap pengorbanan mereka menjadi pendorong kepada murid suku kaum Orang Asli di pedalaman untuk mencapai kejayaan.
-- BERNAMA
#cabaran guru #Orang Asli #pendidikan orang asli #Projek Kelas Khas
;