Cabaran guru dalam transformasi pendidikan

Teoh El Sen
Mei 16, 2013 07:22 MYT
Pengurangan karenah birokrasi dan protokol akan membantu dalam usaha proses transformasi pendidikan negara ini, mengikut Prof Datuk Dr Hussein Ahmad.
Felo Penyelidik Kanan dari Institut Kepimpinan Pendidikan Universiti Malaya itu menjelaskan bahawa para pendidik harus berkomunikasi dengan murid-murid dengan lebih dekat dan mesra lagi.
“Zaman dulu memang lebih susah untuk orang ramai untuk bercakap dengan pengetua dan guru-guru. Zaman moden tidak lagi, boleh cakap dengan senang, tiada protokol,” kata Hussein.
Hussein telah menghadiri perbincangan Analisis Awani bertajuk “Cabaran guru dalam transformasi pendidikan” sempena Hari Guru. Bersama dengannya juga Sajoli Masdor, Pengetua sekolah bestari SMK Sungai Pusu, Gombak dan hos Dzulfitri Yusop, Cynthia Ng dan Hans Yusoff.
Dalam perbincangan itu, Hussein berkata zaman transformasi juga memerlukan pemimpin yang sudi ubah dan mengamalkan cara pendidikan yang lebih terbuka.
“Kita perlu memberikan ruang sebaik mungkin untuk berinteraksi, dan suasana yang tidak rigid,” kata Hussein. “Guru perlu bersedia untuk didedahkan dan diberikan peluang untuk berkembang. Bukan sahaja guru mengajar korikulum biasa tetapi juga fasilitat pelajar dari segi ko-kurikulum,” tambahnya lagi.
Pada masa yang sama, Sajoli juga bersetuju bahawa karenah birokrasi ada kalanya menjadikan penghalang kepada guru untuk lebih cemerlang.
“Contohnya, satu guru memerlukan tandatangan pengetua tetapi pengetua itu tengah berbincang dengan tetamu. Kalau pengetua itu boleh lebih fleksibel dan menolong guru itu, sistem pendidikan boleh lebih lancar,” kata Sajoli.
Sajoli berkata peranannya sebagai seorang pengetua ialah untuk memastikan guru-guru dan murid-murid seronok hadir ke sekolah dan tiada sebarang paksaan.
“Gaya kepimpinan yang memujuk, yang banyak berterima kasih, yang membimbing, yang member motivasi, yang bersama-sama menyelesaikan masalah akan menolong kita. Kita perlu melihat masalah itu sebagai peluang,” katanya.
Satu lagi contoh yang dibagi Sajoli adalah apabila para guru-guru diwajibkan masukkan data ke dalam system e-disiplin.
“Masa itu ada sedikit kesilapan komunikasi dan sistem itu tidak berfungsi. Sebagai pengetua, saya telah memberitahu guru-guru saya tidak perlu risau dulu. Itu telah menaikkan semangat mereka,” katanya.
Sajoli menekankan bahawa ia sangat penting untuk seorang pengetua dan juga kementerian untuk membagi sokongan sepenuhnya kepada sesiapa yang dibawahnya.
Ditanya bagaimanakah satu sekolah boleh menangani limitasi sesetengah sistem atau dasar yang mungkin tidak sempurna, Sajoli kata: ““Bagi saya, masa saya dalam sekolah saya pengetua, tetapi bila saya keluar daripada pintu pagar itu, saya seorang pembayar cukai.
"Kalau projek dalam sekolah jadi gajah putih, saya akan kata, saya yang menyebabkan ia gagal. So bagi I, benda yang tidak bagus boleh dijadikan satu peluang.”
#Hari Guru #hussein ahmad #universiti malaya
;