Cabaran debat: Fahmi enggan layan, sifatkan Wan Fayhsal 'attention seeker'

Umavathi Ramayah
Ogos 13, 2024 12:24 MYT
Fahmi berkata, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal tersentap apabila Rafizi mencabarnya berdebat mengenai formula cetak wang. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil enggan melayan cabaran debat terbuka daripada Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selain menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Machang itu sebagai attention seeker.
Kata beliau Wan Fayhsal dilihat 'tersakiti' dan 'tersentap' apabila Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mencabarnya berdebat mengenai formula cetak wang yang pernah dilaungkan Ketua Pemuda Bersatu itu.
"He's an attention seeker. Kalau dia hendak berdebat sepatutnya janganlah bawa surat layang ke Parlimen, dia boleh datang ke Parlimen dan berbahas mengikut peraturan.
"Saya nampak beliau 'tersakiti' dan 'tersentap' sebab Rafizi telah melontar cabaran kepada beliau dan menyentuh formula atau konsep mencetak wang yang pernah dilaungkan Ahli Parlimen Machang.
"Sekarang ini beliau menerima cabaran daripada Menteri Ekonomi, bukan mudah nak berbahas dengan Rafizi. Saya rasa dia ketagih attention, dia nak orang ramai lihatkan dia, lihatlah saya, lihatlah saya," katanya selepas majlis Jejak Panda’ oleh Foodpanda Malaysia, di sini, pada Selasa.
Wan Ahmad Fayhsal sebelum ini mencabar Rafizi dan Fahmi untuk berdebat berhubung isu penjualan saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada BlackRock Inc.
Kesediaannya untuk berdebat di atas pentas neutral itu juga bertujuan menjawab persoalan berkaitan penggantungan beliau selama enam bulan daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat pada Julai lalu.
Wan Ahmad Fayhsal dalam satu kenyataan balas sebelum ini kepada seorang pengguna media sosial mencabar pihak kerajaan untuk berdebat mengenai isu MAHB, Global Infrastructure Partners (GIP) dan Blackrock.
Sementara itu, Rafizi menerusi hantaran di platform X pada Jumaat, bagaimanapun mengajak Wan Ahmad Fayhsal untuk berdebat mengenai topik 'kesan merancakkan ekonomi dengan mencetak wang' menerusi platform ‘podcast’.
#MAHB #media sosial #Parlimen #debat