Cabaran dapat sukarelawan perubatan lebih besar berbanding meraih dana – IMARET

Irfan Faruqi
September 24, 2024 22:09 MYT
Keadaan kawasan sekitar Alor Melintang, dekat Sungai Baru yang masih ditenggelami banjir. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Cabaran untuk mendapatkan sukarelawan perubatan yang boleh meluangkan masa sehingga tamat misi banjir adalah lebih besar berbanding cabaran untuk meraih dana bantuan.

Ringkasan AI
  • Cabaran mendapatkan sukarelawan perubatan: Sukarelawan perubatan sukar untuk mendapatkan pelepasan dari kerja hakiki mereka di institusi kesihatan. Kesedaran dan persediaan sukarelawan: Pada fasa awal, sukarelawan belum bersedia sepenuhnya dan kesedaran di tempat kerja untuk memberi pelepasan juga kurang. Keadaan banjir di Kedah: Kedah adalah negeri paling teruk terjejas dengan 8,394 mangsa pada puncaknya.

Ketua Koordinator IMARET dan Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan Taylor’s University, Dr. Ahmad Yusuf Yahaya berkata, sukarelawan perubatan terikat dengan kerja hakiki di institusi kesihatan masing-masing dan sukar untuk mendapatkan pelepasan dalam tempoh masa yang lama.
"Untuk dapat jumlah sukarelawan komited untuk turun padang dan kekal bersama kita adalah cabaran yang besar. Cabaran untuk dapatkan sukarelawan pada fasa awal adalah sukar kerana sukarelawan belum bersedia sepenuhnya.
“Berita (banjir) baru masuk. Kesedaran di peringkat tempat kerja juga kurang untuk memberi pelepasan. Ada masa-masa tertentu cabaran ini lebih besar daripada cabaran untuk mendapatkan dana (bantuan banjir),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Sejak 17 September lalu, Kedah menjadi negeri paling teruk terjejas banjir dengan angka mangsa tertinggi dicatatkan adalah pada petang Ahad iaitu seramai 8,394 orang.
Setakat Selasa, trend mangsa banjir yang dipindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) semakin berkurangan, dengan beberapa kawasan masih berdepan situasi banjir termenung.
Agenda AWANI: Misi banjir: Koordinasi bantuan, elak tercicir
#mangsa banjir #PPS #sukarelawan perubatan #mati lemas
;