Cabaran dalam menggubal ‘Lemon Law’ antara tumpuan sidang Dewan Rakyat hari ini

Bernama
Julai 3, 2024 08:00 MYT
Cabaran dalam menggubal undang-undang 'Lemon Law' bagi melindungi pengguna dalam urusan pembelian kenderaan antara tumpuan sidang Dewan Rakyat hari ini. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Cabaran dalam menggubal undang-undang 'Lemon Law' bagi melindungi pengguna dalam urusan pembelian kenderaan antara tumpuan sidang Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, perkara itu akan dibangkitkan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada sesi Soal Jawab Lisan.
Shamshulkahar ingin tahu tahap kerjasama yang diberikan pemain industri terhadap cadangan pengenalan undang-undang berkenaan.
Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) pula meminta penjelasan Menteri Pertahanan sama ada kerajaan mempunyai perancangan untuk mengkaji semula lokasi kem-kem tentera sedia ada yang jauh dari sempadan Malaysia-Thailand ke lokasi lebih strategik.
Pada sesi sama, Chong Zhemin (PH-Kampar) meminta penjelasan Menteri Komunikasi berkenaan status terkini pelaksanaan 5G dwirangkaian dan jumlah pegangan ekuiti yang akan dilepaskan Digital Nasional Bhd kepada syarikat telekomunikasi setelah pelaksanaan projek itu selesai kelak.
Usai sesi itu, Dewan Rakyat akan menyambung perbahasan bagi usul Rang Undang-Undang Audit (Pindaan) 2024 yang dibacakan buat kali kedua semalam.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup juga dijadual membacakan buat kali kedua Rang Undang-Undang Perkongsian Liabiliti Terhad (Pindaan) 2024.
- BERNAMA
#lemon law #Dewan Rakyat #urusan pembelian kenderaan #Soal Jawab Lisan
;