Cabaran COVID-19, pembangunan projek infrastruktur mesti diteruskan - James Masing
Rudi Affendi Khalik
Jun 7, 2020 14:15 MYT
Jun 7, 2020 14:15 MYT
Kerajaan Sarawak akan meneruskan projek pembangunan infrastruktur di negeri ini meskipun berdepan cabaran pandemik COVID-19.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini mengakibatkan kelewatan banyak projek yang sedang dijalankan.
Masing yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak juga menegaskan walaupun kebenaran akan diberi, pelaksanaan projek perlu berlandaskan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.
Pematuhan ini perlu diutamakan terutama melibatkan kawasan zon hijau di negeri itu, katanya.
“Kita akan mematuhi garis panduan ditetapkan dan akan terus menasihatkan kerajaan negeri untuk meneruskan apa yang sepatutnya dilakukan kerana kita memiliki dana untuk meneruskan projek pembangunan.
“Saya tidak akan membiarkan COVID-19 membantutkan projek-projek pembangunan yang mesti diteruskan. Dalam masa yang sama, langkah pencegahan dan keselamatan tenaga kerja mesti diutamakan,” katanya kepada Astro AWANI di sini.
Tambahnya projek pembangunan di negeri itu kini tertangguh sekurang-kurangnya tiga bulan melibatkan penggunaan antara 30 hingga 40 peratus tenaga kerja.
Berikutan pembangunan infrastruktur di negeri ini banyak ketinggalan, Masing berkata pihaknya sering berdepan kritikan namun beliau meminta rakyat bersabar dan faham dengan situasi semasa.
“Kita sudah jauh ketinggalan daripada segi masa, ditambah lagi dengan isu COVID-19 ini dan kita akan terus kalah jika tidak melawan.
“Saya tidak peduli apa kritikan mengenai kelewatan ini kerana jika kita mendengar kritikan sampai bila pun Sarawak tidak akan bergerak ke depan. Kerajaan melakukan projek pembangunan dengan niat murni,” tambah Masing.
#AWANI Sarawak
#COVID-19
#Infrastruktur
#JPBN Sarawak
#Kuching
#Perintah Kawalan Pergerakan PKP
#PKPB
#Sarawak
#SOP
#Tan Sri Dr James Jemut Masing