Cabar siasatan SPRM: Mahkamah Rayuan tolak permohonan Daim, keluarga

Bernama
Mei 9, 2024 17:32 MYT
Panel hakim sebulat suara menolak rayuan Daim dan keluarganya itu, bagi mendapatkan kebenaran untuk semakan kehakiman atas alasan penyiasatan jenayah, tidak sesuai untuk ulasan kehakiman. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan keluarganya pada Khamis gagal dalam rayuan mereka untuk mendapatkan kebenaran meneruskan semakan kehakiman bagi mencabar siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung hal ehwal kewangan mereka.
Panel tiga anggota terdiri daripada Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azizah Nawawi, Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azizul Azmi Adnan sebulat suara menolak rayuan Daim dan keluarganya itu, bagi mendapatkan kebenaran untuk semakan kehakiman atas alasan penyiasatan jenayah, tidak sesuai untuk ulasan kehakiman.
"Oleh sebab itu, mahkamah menolak permohonan pemohon tanpa sebarang arahan mengenai kos,” kata Hakim Azizah.
Pada 4 Mac, Hakim Mahkamah Tinggi menolak permohonan Daim dan keluarganya untuk semakan kehakiman selepas memutuskan bahawa mereka gagal membuktikan terdapat unsur mala fide (niat jahat) terhadap pegawai SPRM yang menjalankan siasatan.
Daim, 85, isterinya Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid, 66, dan empat anak mereka - Asnida, 62, Md Wira Dani, 45, Muhammed Amir Zainuddin, 28, dan Muhammed Amin Zainuddin, 25 - serta Ilham Tower Sdn Bhd memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 10 Jan dan menamakan SPRM dan Pendakwa Raya sebagai responden.
BERITA LANJUT MENYUSUL
#Tun Daim #kes mahkamah #cabar siasatan #SPRM
;