CAAM sasar peraturan baharu pesawat pendaftaran asing sebelum suku pertama 2025

Bernama
Januari 17, 2025 21:49 MYT
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dijangka menerbitkan peraturan baharu berkaitan operasi pesawat yang didaftarkan di luar negara dalam penerbangan am menjelang suku pertama tahun ini.
KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dijangka menerbitkan peraturan baharu berkaitan operasi pesawat yang didaftarkan di luar negara dalam penerbangan am menjelang suku pertama tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata semakan komprehensif terhadap peraturan 147 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016, yang bermula tahun lepas, kini hampir selesai.
"Saya sedang berusaha untuk siap pada suku pertama... ia hampir lengkap menuju peringkat akhir semakan Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu dalam program 'The Nation' terbitan Bernama TV di sini hari ini.
Pada 16 Ogos 2024, Norazman menyatakan semakan semula itu bertujuan untuk memperkasakan CAAM dalam meningkatkan keupayaan pemantauan berkaitan pesawat berpendaftaran asing yang beroperasi di Malaysia serta memastikan semua aktiviti penerbangan di negara ini mematuhi piawaian keselamatan tertinggi.
Semakan semula itu dilakukan susulan pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Subang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor, yang meragut nyawa 10 orang.
Dilaporkan bahawa pesawat tersebut mempunyai nombor pendaftaran N28JV, yang menunjukkan ia didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA).
Sebelum itu, dalam program tersebut, Norazman berkata CAAM komited untuk mengekalkan standard keselamatan dan kecekapan tertinggi dalam sektor penerbangan Malaysia selaras dengan piawaian global.
Di tengah-tengah kebimbangan keselamatan yang meningkat susulan rentetan bencana penerbangan yang dahsyat pada Disember lepas, beliau berkata semua pihak berkepentingan dalam penerbangan sedang mempelajari insiden sedemikian untuk membangunkan langkah mitigasi dan mengelakkan insiden serupa pada masa depan.
"Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) telah mengeluarkan amalan standard yang disyorkan untuk diikuti oleh semua pihak berkepentingan dalam penerbangan.
"Sudah tentu, kita tidak boleh menjamin risiko sifar, risiko sentiasa ada. Tetapi apa yang kita cuba lakukan adalah untuk membawa risiko itu serendah mungkin," katanya.
Sekurang-kurangnya tujuh kemalangan pesawat dilaporkan pada Disember lepas di seluruh dunia, termasuk dua kemalangan maut yang mengorbankan 220 penumpang di Azerbaijan dan Korea Selatan, menimbulkan kebimbangan terhadap standard keselamatan penerbangan global.
-- BERNAMA
#CAAM #peraturan baharu #pesawat pendaftaran asing #penerbangan
;