CAAM pantau situasi insiden ular dalam pesawat AirAsia - Wee Ka Siong
Astro Awani
Februari 12, 2022 22:39 MYT
Februari 12, 2022 22:39 MYT
KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan terus memantau situasi dengan pengurusan syarikat penerbangan susulan insiden seekor ular di ruang penyimpanan barang dalam pesawat AirAsia pada Khamis.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan, ia adalah untuk memastikan segala mitigasi risiko diuruskan sewajarnya.
“CAAM tidak akan berkompromi dalam sebarang isu yang boleh menjejaskan keselamatan operasi syarikat penerbangan,” tegasnya.
Ujarnya, Kementerian Pengangkutan juga telah berhubung rapat dengan CAAM mengenai perkara tersebut dan pengawal selia keselamatan dan teknikal telah menguruskan hal ini dengan baik dengan syarikat penerbangan berkenaan mengikut semua prosedur dan peraturan keselamatan.
“Setiap syarikat penerbangan mematuhi semakan pra-penerbangan yang ketat sebagai sebahagian daripada keperluan dan prosedur operasi standard,” katanya.
Khamis lalu, para penumpang pesawat AirAsia AK5748 dari Kuala Lumpur ke Tawau gempar dengan penemuan seekor ular dikesan merayap di ruang penyimpanan barang.
Menurut Ketua Pegawai Keselamatan Syarikat tersebut, Kapten Liong Tien Ling, sebaik sahaja menyedari kehadiran reptilia tersebut kapten pesawat telah mengambil keputusan untuk melencongkan pesawat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA).
Tambah Tieng Ling, juruterbang terbabit telah mengambil tindakan yang wajar dan penerbangan kemudian diteruskan ke Tawau secepat mungkin.