CAAM cadang pindaan Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 untuk rancakkan industri dron
Raja Hisyam Raja Zaid
Ogos 24, 2022 16:20 MYT
Ogos 24, 2022 16:20 MYT
PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) bercadang untuk memperkenalkan pindaan terhadap Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 bagi menambah baik dan mendokong industri penggunaan dron di negara ini.
Jelas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong, CAAM juga akan memperkenalkan Sistem Pengurusan Trafik UAS (UTM System) bagi mengurus dan memantau keseluruhan aktiviti penerbangan dron.
Pindaan dan pewujudan sistem tersebut dijangka mampu memastikan industri dron mencapai potensi penuh dalam merealisasikan pencapaiannya ke tahap yang lebih tinggi.
"Pindaan yang dicadangkan sukar untuk dilaksanakan tanpa adanya sistem di atas talian yang efisien dan bersepadu.
"Untuk itu, CAAM bakal memperkenalkan UTM System bagi mengurus dan memantau keseluruhan aktiviti penerbangan dron sama ada ia untuk tujuan komersial ataupun rekreasi," katanya ketika berucap sempena Bengkel Pengoperasian UAS/Dron bersama media di sini hari ini.
Tambahnya lagi, kerajaan sedar penggunaan dron di negara ini semakin diminati dan meluas sejak akhir-akhir ini.
Namun jelasnya penggunaannya juga berupaya mendedahkan risiko-risiko tertentu terhadap pengguna termasuk media seperti isu keselamatan dan pencabulan privasi.
Tanpa pendedahan, pengetahuan dan kemahiran terhadap keperluan undang-undang jelas beliau, akan mengakibatkan kejadian yang tidak diingini berlaku.
"CAAM sebagai agensi kawal selia yang bertanggungjawab berhubung penggunaan dron di dalam negara sedang giat dan aktif memberi penerangan dan pendedahan kepada orang ramai berhubung peri pentingnya penggunaan dron secara terkawal dan selamat.
"Antara langkah dan strategi yang telah diambil adalah dengan mengeluarkan Arahan Penerbangan Awam yang khusus kepada pengendali dron dan organisasi latihan dron iaitu Civil Aviation Directive 6011 Part I Remote Pilot Training Organisation, Civil Aviation Directive 6011 Part II Agricultural UAS Operations dan Civil Aviation Directive 6011 Part V Specila UAS Project," katanya lagi.
Sementara itu menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia, Datuk Kapen Chester Voo, CAAM akan terus membantu dan menyediakan panduan kepada mana-mana organisasi untuk memastikan permohonan bagi pengoperasian dron memenuhi segala keperluan agar ia mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
"CAAM suka untuk mengingatkan semua pengendali dron bahawa aktiviti dron di negara ini tertakluk di bawah Peraturan 140-144, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia (MCAR 2016) dan tiga Civil Aviation Directives (CADs)," katanya kepada beberapa agensi media yang hadir dalam bengkel yang diadakan.
Bengkel media yang dibentangkan oleh Unit UAS/Dron CAAM ini menurutnya, akan menyediakan penjelasan lebih teliti mengenai peraturan-peraturan terkini berkaitan dron, perkara-perkara terkini mengenai ekosistem dron di Malaysia dan panduan lengkap berkaitan aliran proses permohonan Kelulusan Special UAS/Drone Project khas untuk organisasi media.