Buskers perlu hati-hati dengan perhimpunan 'Kita Lawan'- Presiden MYBC
Wan Syamsul Amly
Mac 6, 2015 14:00 MYT
Mac 6, 2015 14:00 MYT
Pemuzik jalanan termasuk yang membuat persembahan di sekitar pusat beli-belah Sogo perlu berhati-hati dengan perhimpunan 'Kita Lawan' yang dicadang diadakan di ibu negara Sabtu ini.
Selain itu tegas Presiden Kelab Penghibur Jalanan Malaysia (MYBC) Wady Hamdan, pihaknya juga akan memastikan tidak ada mana-mana buskers yang menyertai perhimpunan haram berkenaan.
"Buskers ada hak untuk terus jalankan aktiviti mereka kerana kita mempunyai permit dan tiada pihak yang boleh menghalang.
"Tetapi kita sarankan buskers ini agar lebih berhati-hati kerana risau sekiranya berlaku kekacauan yang tidak terkawal," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Wady mengulas amaran Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah yang meminta orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan haram di ibu negara pada Sabtu.
Kata Zainol, perhimpunan tersebut melanggar undang-undang dan mereka yang terlibat boleh dikenakan tindakan kerana ia bercanggah dengan Akta Perhimpunan Aman 2012.
Sebelum ini sebuah portal melaporkan vokalis kumpulan penyanyi jalanan, Genji Buskers, Mustam Mustapa yang mengakui jumlah kutipan wang diterima daripada pengunjung bertambah sewaktu demonstrasi jalanan berlangsung khususnya depan pusat membeli belah Sogo.
Kata Mustam, mereka sebelum ini mengadakan persembahan di hadapan pusat membeli-belah itu ketika demonstrasi berlangsung dan mendapat jumlah kutipan yang lebih berbanding hari biasa.
Perhimpunan kemuncak bagi kempen ‘Kita Lawan' akan diadakan esok.
Ia merupakan simbol sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tanda solidariti untuk pembebasan Ketua Pembangkang itu.
Jelas Wady, pihaknya sentiasa memahami faham tugas anggota polis untuk mengawal keadaan dengan apa cara sekalipun.
Nasihatnya, peserta demonstrasi esok juga diminta tidak meletakkan diri dengan ketaksuban politik dan mencetus huru-hara atau kekacauan pada masyarakat.
"Buskers sendiri adalah golongan kreatif yang majoritinya terdiri dari belia, bersikap neutral, selesa dan berterima kasih dengan segala sokongan yang diberikan kerajaan sekarang terhadap semua aktiviti kami.
"Kerajaan juga sudah mengiktiraf buskers sebagai tarikan pelancongan santai yang mempamerkan kebebasan gaya hidup, ruang mempamerkan bakat secara lebih dekat pada masyarakat selain aktiviti sosial yg sihat dan mampu membentuk pembangunan belia secara positif," katanya.
Dalam pada itu Wady menegaskan, belia yang berminat dengan politik harus menceburinya secara sihat dan bijak.
"Hanya kerana retorika politik yang tidak pasti, kenapa perlu merisikokan diri dengan melibatkan diri dengan perkara yang melanggar undang-undang.
"Tanya diri sendiri apa sumbangan sebagai rakyat yang sayangkan agama, bangsa dan negara," ujarnya.
Dengan mengambil contoh buskers, Wady memberitahu kumpulan itu sekurang-kurangnya mempunyai peranan tersendiri tanpa perlu melibatkan diri dalam ketaksuban politik.
"Jagan terlaku taksub dengan 'politik tak pasti' hanya kerana kepentingan individu dengan menampilkan ekspresi 'ketidakpandaian diri' dan berisiko," jelasnya.
Dengan nada risau kata Wady, perhmpunan 'Kita Lawan' juga mungkin akan melibatkan belia dan pelajar.
"Mereka harus bersikap lebih bijak. Bukan mempamerkan tindakan yang memalukan da sudah pasti tiada sebarang hasil selain hanya memberi ketakutan pada orang ramai serta mencacatkan keamanan dan keharmonian," ujarnya.
Wady turut memberitahu, anggota polis perlu bersikap tegas bagi memastikan keselamatan orang awam.
"Selain itu buskers juga perlu lebih berhati-hati agar barangan atau peralatan muzik mereka tidak berada di situasi yang berisiko," katanya.
Anggota Caliph Buskers, Fendy sebelum ini meminta aktivis, Adam Adli dan penyokong perhimpunan 'Kita Lawan' supaya tidak menggangu lokasi buskers membuat persembahan di sekitar pusat beli-belah, Sogo dengan perhimpunan haram yang hanya membawa ketakutan kepada masyarakat.
Katanya, sebarang perhimpunan haram yang dicadang diharap dibatalkan segera demi kelangsungan rezeki pemuzik jalanan di kawasan berkenaan.