Burung unta 'sesat' di Lebuhraya Persekutuan
Syafique Shuib
Jun 16, 2016 17:22 MYT
Jun 16, 2016 17:22 MYT
Pemandu di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur pastinya terkejut dengan kehadiran seekor burung unta di laluan kanan lebuhraya itu.
Bunyinya agak pelik, namun itulah apa yang berlaku berhampiran stesen LRT Universiti pada lebih kurang jam 3 petang tadi.
Detik itu sempat dirakam oleh pengguna Instagram Jeff Sandhu.
"Ia berada di lorong laju (kanan). Orang ramai memandu perlahan-lahan di belakangnya. Beberapa penunggang motosikal keluar dari lorong motosikal dan mula menunggang di sebelahnya.
"Saya terkejut dan mengambil masa untuk proses bahawa seekor burung unta berlari di lorong laju di Lebuhraya Persekutuan," kata seorang saksi kepada portal MalaysiaKini.
Sementara itu, beberapa netizen yang lain turut terkejut dengan berita ini.
“Bagaimana ia boleh berada di situ?” tanya @mus_alqassami.
@anakwarna52 pula berkata: “Teruknya! Dari mana ia datang akan menyebabkan satu masalah kepada hidupan liar."
Setakat ini, tiada maklumat bagaimana burung unta itu berada di lokasi berkenaan.