Burung hudhud kembali bertelur di Taman Tasik Taiping
Bernama
Jun 28, 2021 21:20 MYT
Jun 28, 2021 21:20 MYT
TAIPING: Pasangan burung hupo atau nama saintifiknya Upupa epops longirostris yang membuat sarang dan menetaskan tiga ekor anak di dalam lubang sebatang pokok di Taman Tasik Taiping di sini pada April lalu, kini kembali bertelur di pohon sama.
Pengarah Zoo Taiping & Night Safari, Kevin Lazarus berkata, pihaknya mengesan kemunculan semula burung itu yang menjadikan lubang sarang di pokok jenis pokok Jemerlang atau dikenali sebagai Yellow Flame berkenaan, untuk bertelur sejak dua minggu lalu.
"Kita mendapati anak burung hudhud itu sudah menetas, berdasarkan bunyinya kedengaran di dalam lubang sarang di pohon itu.
"Pasangan burung jantan dan betina itu juga sudah kelihatan memberikan makanan kepada anak-anaknya dalam sarang di pokok terbabit," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Pada April lalu, pasangan burung yang menjadikan pokok itu sebagai destinasi persinggahan untuk proses pembiakannya, telah menarik kehadiran orang ramai yang meminati burung untuk melihat spesies yang tidak pernah ditemui di sini.
Pasangan burung jantan dan betina spesies itu mula dikesan membuat sarang di Pokok Jemerlang pada 5 April lepas untuk bertelur, dan sejak spesies itu dikesan hampir 100 orang telah berkunjung setiap, hari untuk melihat burung tersebut.
Tiga ekor anak burung itu yang menetas dalam sarang berlubang berkenaan telah terbang meninggalkan sarang sejak 14 Mei hingga 17 Mei dan spesies burung hijrah yang berasal dari kawasan Afro-Eurosia iaitu sekitar Eropah, Afrika dan Asia tersebut, adalah spesies yang berjaya membiak di negara ini.
Dalam pada itu Kevin berkata, pasangan burung hijrah itu dipercayai tidak pulang ke negara asalnya kerana memilih untuk bertelur lokasi berkenaan, namun orang ramai tidak dibenarkan berkumpul di kawasan itu disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika ini.
"Kita membuat pengawasan bagi mengelak kawasan itu diceroboh, selain memastikan pembiakan burung berkenaan dapat dikawal," katanya.
-- BERNAMA