Buruh warga Myanmar didakwa rasuah polis

Bernama
Ogos 26, 2020 00:11 MYT
Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama. - Foto BERNAMA
Seorang buruh binaan warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan memberi suapan wang tunai kepada anggota polis minggu lepas.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Zainal Hussein Shuna Ali, 25, yang beralamat di sini dan memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) kerana dia tidak memahami bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa secara rasuah memberi suapan sebanyak RM3,000 kepada Sarjan Mohd Shahrul Ashraf Shakri di bilik pintu 3, tingkat 2 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada 12 tengah hari, 19 Ogos lepas.
Suapan itu sebagai dorongan bagi melepaskan isterinya yang ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Siti Sarah Zainal Abiddin tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana dia seorang warga asing.
Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib menetapkan sebutan semula kes pada Khamis ini (27 Ogos) dengan kehadiran penterjemah bahasa Bangladesh.
-- BERNAMA
#buruh #buruh binaan #IPD Kuantan #isteri #mahkamah #Myanmar #pelarian #polis #Rasuah #suapan #UNHCR #wang tunai #warga asing