Buruh warga Indonesia maut dipanah petir dalam ladang sawit
Nur Fazlizai Ali
Julai 25, 2020 09:23 MYT
Julai 25, 2020 09:23 MYT
Seorang buruh warga Indonesia ditemui meninggal dunia dipercayai dipanah petir ketika mengait buah kelapa sawit.
Kejadian berlaku di ladang kelapa sawit Kampung Dusun Cheting, Hulu Terengganu.
Mangsa yang dikenali sebagai Maniadi, 40 tahun, ditemui rakannya kira-kira jam 2.50 petang Jumaat dalam keadaan terbaring di atas tanah.
Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Mohd Adli Mat sekitar jam 2.30 petang mangsa bersama rakannya itu keluar dari rumah kongsi Ladang Tersat untuk ke ladang berkenaan.
Menurut Mohd Adli, rakannya yang berusia 32 tahun itu meninggalkan mangsa melakukan kerja di ladang berkenaan dan apabila kembali ke lokasi dia terkejut melihat mangsa terbaring di tanah.
Jelasnya, sejurus selepas itu, rakannya membawa mangsa balik ke rumah kongsi mereka yang terletak kira-kira 2.5 kilometer dari ladang berkenaan.
Hasil pemeriksaan fizikal ke atas badan mangsa mendapati terdapat kesan terbakar di telapak tangan kanan akibat terkena panahan petir, dipercayai semasa mangsa mengait buah kelapa sawit.
Mohd Adli berkata hasil pemeriksaan lanjut pihaknya tidak menemui kecederaan akibat perbuatan jenayah.
Mayat mangsa seterusnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
#buruh
#Hulu Terengganu
#Kampung Dusun Cheting
#kelapa sawit
#kesan terbakar
#ladang
#Ladang Tersat
#mati mengejut
#maut
#mayat
#meninggal dunia
#Mohd Adli Mat
#petir
#rumah kongsi
#warga Indonesia