Buruh ugut, khianat ibu mentua, langgar polis direman lagi
Astro Awani
Mei 5, 2023 19:45 MYT
Mei 5, 2023 19:45 MYT
KEMAMAN: Seorang buruh kelapa sawit direman sekali lagi bagi membantu siasatan kes ugutan jenayah dan khianat terhadap ibu mentuanya.
Reman tiga hari ke atas suspek yang berusia 51 tahun itu dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin bermula Jumaat hingga Ahad.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, penahanan itu bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan lanjut kes suspek dikatakan mengetuk kenderaan ibu mentuanya menggunakan kayu sebelum melanggar seorang anggota polis Ahad lalu.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 506 kanun yang sama kerana ugutan jenayah," katanya di sini, pada Jumaat.
Pada Isnin, suspek telah direman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
Ahad lalu seorang anggota polis berpangkat sarjan patah bahu kanan selepas dirempuh sebuah kereta dalam kejadian langgar lari di Jalan Dato di Chukai, Kemaman.
Suspek yang memandu kereta itu berjaya diberkas sekitar jam 2.15 petang kira-kira 18 kilometer dari lokasi kejadian.