Buruh temui ajal di padang bola

Sinar Harian
Disember 28, 2021 11:08 MYT
Lelaki berusia 53 tahun dari Kok Lanas itu dipercayai mengalami sesak nafas dan rebah di tepi padang serta tidak sedarkan diri. - Foto Sinar Harian
PASIR PUTEH: Seorang buruh menemui ajal semasa berehat ketika separuh masa pertama perlawanan bola sepak persahabatan yang disertainya di padang Selising, Pasir Puteh petang Isnin.
Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, lelaki berusia 53 tahun dari Kok Lanas itu duduk berehat sambil minum air dan makan sepotong pisang goreng.
Bagaimanapun, dia dipercayai mengalami sesak nafas dan rebah di tepi padang serta tidak sedarkan diri.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Ediansha Endal berkata, rakan-rakan mangsa membawanya ke Klinik Kesihatan Selising dan Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan mengesahkan kematian mangsa.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa pernah mengadu sakit dada beberapa hari sebelum perlawanan persahabatan tersebut.
"Mangsa telah berpisah dengan isteri dan kini tinggal berseorangan serta tidak mempunyai sebarang rekod perubatan.
"Mangsa dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk tindakan bedah dan siasat lanjut. Kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
Artikel asal di Sinar Harian
#bola sepak #sakit dada #Pasir Puteh #rehat separuh masa pertama
;