Buruh sekali lagi didakwa tipu bantuan eKasih

Bernama
Ogos 5, 2024 16:40 MYT
Muhammad Halmi Ismail, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret T. Kavita Tangga Rajoo. - Gambar hiasan
MANJUNG: Seorang buruh dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menipu dan memperdaya seorang warga emas berkaitan bantuan eKasih.
Muhammad Halmi Ismail, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret T. Kavita Tangga Rajoo.
Tertuduh didakwa menipu seorang lelaki berusia 70 tahun dengan memperdayanya untuk menyerahkan wang RM350 bagi membantu mendapatkan bantuan eKasih antara 3.30 hingga 5 petang pada 16 April lepas.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Sitiawan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Insp Nurjihan Jaya manakala tertuduh diwakili peguam Nurafiqah Abd Aziz.
Sebelum ini, Muhammad Halmi mengaku bersalah atas 13 pertuduhan serupa di Mahkamah Majistret Ipoh, Mahkamah Majistret Lenggong (dua pertuduhan) dan Mahkamah Majistret Taiping (18 pertuduhan).
-- BERNAMA
#tipu bantuan kerajaan #eKasih #kes mahkamah #hukuman penjara
;