Buruh paksaan: FGV ambil langkah proaktif

Astro Awani
Disember 14, 2020 14:28 MYT
Mustapa Mohamed berkata, FGV sedang berkomunikasi dengan beberapa organisasi bebas untuk mencari pilihan dalam menjalankan audit bagi operasi FGV pada masa akan datang. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd mengambil langkah proaktif dalam usaha membatalkan Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) sejak petisyen dikemukakan mengenai dakwaan menggunakan buruh paksa dalam penghasilan produk sawit.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, FGV telah berkomunikasi dengan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) melalui panggilan persidangan untuk mendapatkan penjelasan mengenai dakwaan itu dan langkah-langkah yang harus diambil untuk pembatalan WRO.
Namun begitu katanya, pihak CBP tidak dapat mendedahkan sebarang penemuan termasuk sifat atau lokasi kejadian yang berkaitan dengan indikasi-indikasi tersebut.
"Tapi CBP memaklumkan kepada FGV bahawa ia akan mempertimbangkan petisyen untuk pembatalan WRO bersama-sama dengan maklumat atau laporan yang terhasil daripada audit oleh firma audit pihak ketiga yang boleh dipercayai dan tidak menyebelahi mana-mana pihak," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau) mengenai usaha kerajaan untuk menangani dakwaan AS terhadap FGV Holdings Bhd menggunakan buruh paksa dalam penghasilan produk sawit.
Tambah Mustapa, FGV juga sedang berkomunikasi dengan beberapa organisasi bebas untuk mencari pilihan dalam menjalankan audit bagi operasi FGV pada masa akan datang.
"FGV juga telah mengambil tindakan untuk memperbaiki sistem pengambilan buruh asing serta menetapkan piawaian pekerja yang bersesuaian dalam memastikan kebajikan pekerja terpelihara selaras dengan hak asasi manusia," katanya.
Beliau berkata langkah itu bagi memastikan kebajikan pekerja sentiasa terpelihara, selaras hak asasi manusia. Katanya, usaha sedemikian merangkumi pembayaran gaji tanpa tunai, iaitu secara dompet elektronik bagi pekerja ladang di seluruh negara, menggunakan aplikasi mudah alih Merchantrade Money, menjelang suku pertama tahun depan.
"Ia menyasarkan untuk melaksanakan sistem ini ke seluruh sektor perladangannya termasuk di Sabah dan Sarawak menjelang suku pertama 2021," jelasnya.
Dalam pada itu, Mustapa berkata, FGV melabur hampir RM350 juta bagi menaik taraf kemudahan perumahan dengan membina kediaman baharu di ladang-ladang di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun ini.
"Empat pusat sehenti di Malaysia dan di negara sumber seperti di India serta Indonesia turut dibina, bagi memperkukuhkan program orientasi sebelum pelepasan, ketibaan pekerja asing," ujarnya.
Katanya, FGV juga komited untuk menanggung kos yang berkaitan dengan pengambilan pekerja migran yang meliputi permit kerja, visa, pemeriksaan kesihatan serta insurans.
"FGV juga telah menyemak semula kontrak dengan agensi pengambilan pekerja bagi memastikan tiada sebarang bayaran dikenakan ke atas pekerja terbabit,- katanya.
Beliau berkata FGV juga menghormati hak pekerja menerusi manfaat kesihatan yang disediakan termasuk menanggung perbelanjaan tahunan bagi rawatan pesakit luar selain peruntukan tanpa had untuk rawatan di hospital.
"FGV tidak mengamalkan penyimpanan pasport pekerja, malah telah menyediakan sebanyak 32,250 peti simpanan pasport di seluruh 68 kompleks sebagai langkah pilihan kepada pekerja untuk menyimpan pasport mereka dengan selamat," katanya.
FGV turut mengambil inisiatif mewujudkan 11 Pusat Pembelajaran Komuniti (CLC) di Sahabat dan Kinabatangan, Sabah dengan melabur sebanyak RM5 juta bagi projek CLC berkenaan sebagai pusat pembelajaran alternatif bagi anak-anak pekerja ladang warga Indonesia yang merupakan sebahagian besar pekerja ladang FGV di Sabah.
#FGV #buruh paksaan #kepala sawit #pekerja asing #Mustapa Mohamed #Perintah Tahanan Pelepasan #Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan #Jabatan Perdana Menteri Ekonomi #Dewan Rakyat
;