Buruh mengaku tidak bersalah rogol remaja bawah umur
Nur Fazlizai Ali
Januari 9, 2023 16:41 MYT
Januari 9, 2023 16:41 MYT
KUALA TERENGGANU: Seorang pemuda didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas tuduhan merogol seorang remaja bawah umur awal bulan ini.
Tertuduh, Muhammad Tarmizi Sulong, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang merupakan seorang buruh didakwa merogol mangsa yang berusia 14 tahun 10 bulan.
Kesalahan didakwa dilakukan pada 1 Januari lalu di sebuah kawasan padang bola di Kuala Terengganu jam 8.30 malam.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebat.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.